Perkhidmatan NG999 kini ganti MERS999, guna teknologi canggih dan AI
KUALA LUMPUR – TM dan kerajaan Malaysia hari ini memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi mengendalikan sistem panggilan kecemasan baharu negara, Next Generation Emergency Services 999 (NG999).
Perjanjian yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Naib Presiden Eksekutif TM One, Shazurawati Abd Karim itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Dalam pada itu Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkhidmatan itu akan memudahkan orang ramai untuk membuat laporan kecemasan dengan lebih tepat melalui penggunaan teknologi terkini.
“Hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting kerajaan dalam komitmen untuk menjaga keselamatan awam dengan memperbaharui dan menaik taraf perkhidmatan sedia ada Malaysian-Emergency Responses 999 (MERS999), kepada NG999.
“Perkhidmatan NG999 akan mempertingkatkan penggunaan teknologi digital terkini yang memudahkan orang ramai membuat laporan kecemasan melalui pelbagai saluran merangkumi suara, video, teks, gambar dan peranti digital, bagi tujuan pemberian maklumat yang lebih tepat, selain untuk tindakan strategik terjajar oleh pihak agensi keselamatan,” katanya.
Terdahulu, teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi.
Turut hadir Pengerusi TM, Zainal Abidin Putih dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris.
Katanya, perkhidmatan tersebut akan dikembangkan kepada lebih 800 lokasi di mana ia akan membantu mempercepatkan tindak balas dari agensi kecemasan apabila sesuatu kejadian berlaku.
Dalam pada itu, TM menerusi satu kenyataan berkata sistem baharu itu akan menyepadukan peta digital berasaskan web, ID pemanggil, perkhidmatan geolokasi dan aplikasi pintar mudah alih ke dalam pengendalian insiden kecemasan.
Menurutnya lagi, NG999 juga bakal memanfaatkan teknologi canggih termasuk analisis data dan kecerdasan buatan (AI) untuk menyampaikan bantuan kecemasan dengan lebih berkesan.
“Sejajar dengan peningkatan penggunaan telefon mudah alih di negara ini, TM akan memperkenalkan aplikasi baharu untuk NG999 yang membolehkan penggunaan teks, foto dan video untuk pengguna berdaftar.
“Inisiatif ini akan meningkatkan mutu komunikasi antara pemanggil dengan petugas bantuan kecemasan, sekali gus mempercepat saluran perkhidmatan,” ujarnya.
Pelaksanaan sistem NG999 bertaraf dunia ini bergerak selari dengan amalan terbaik antarabangsa terkini seperti European Emergency Number Association NG112 dan National Emergency Number Association NG911 di Amerika Utara.