Berita Semasa

‘Work life balance’ pekerja Malaysia kedua terburuk di dunia – Kajian

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat perkhidmatan sumber manusia global mendapati Malaysia berada di kedudukan kedua terburuk di dunia berkaitan keseimbangan hidup dan kerja (work life balance) daripada 60 negara.

Kajian oleh firma Remote tersebut turut menunjukkan Malaysia menjadi negara Asia yang terburuk dalam indeks tersebut.

“Rakyat Malaysia didapati bekerja keras daripada sepatutnya dan mempunyai sedikit atau tiada masa untuk berehat serta memulihkan tenaga daripada hari yang panjang selain tekanan di tempat kerja,” katanya.

“Kajian itu bertujuan untuk mewakili keseimbangan kehidupan kerja setiap negara dengan tepat, membayangkan semula frasa popular keseimbangan kehidupan kerja untuk menunjukkan bagaimana perniagaan di setiap negara meletakkan kehidupan sebelum bekerja,” kata laporan itu, baru-baru ini.

Kajian Remote itu menganalisis data yang dikumpul pada Mac 2023 dengan mengambil kira beberapa faktor berkaitan tempat kerja seperti bilangan hari cuti tahunan berkanun, bayaran sakit berkanun minimum, bilangan hari cuti bersalin berkanun, peratusan gaji untuk cuti bersalin berkanun, gaji minimum, penjagaan kesihatan, indeks kebahagiaan, purata waktu kerja mingguan dan hubungan sejenis.

Berdasarkan analisis data itu, Malaysia memperoleh 27.51 markah daripada 100 dan mencatatkan purata kerja mingguan 40.8 jam berserta gaji minimum USD1.07 (kira-kira RM5.04) sejam.

Malaysia turut berkongsi gelaran negara yang paling banyak bekerja bersama Mexico dan Nigeria.

“Pekerja di Mexico, Malaysia dan Nigeria adalah yang paling banyak bekerja, masing-masing menghabiskan lebih 40 jam secara purata setiap minggu, termasuk pekerja sepenuh masa dan sambilan,” kata laporan itu.

Sementara itu, negara yang mendominasi lima tempat teratas dalam senarai tersebut ialah New Zealand, Sepanyol, Perancis, Australia dan Denmark manakala tiga negara Asia teratas ialah Taiwan (tempat ke-16), Singapura (tempat ke-19) dan Korea Selatan (tempat ke-32).

Show More

Related Articles

Back to top button