Berita Semasa

[VIDEO] 308 kandungan lucah, 838 kandungan berunsur pelacuran sudah diturunkan – Kementerian Komunikasi

Antara langkah dilaksanakan bagi banteras budaya 'Dark Side'

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia platform media sosial telah menurunkan 308 kandungan lucah dan 838 kandungan berunsur pelacuran di pelbagai platform media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penurunan kandungan itu termasuk di platform X dan Telegram, dilaksanakan antara 1 Januari 2024 hingga 1 Jun 2024.

@malaysiatribune

MCMC laksana tindakan penguatkuasaan berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia [Akta 588] sekiranya kandungan yang dimuat naik adalah bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik. #malaysiatribune

♬ original sound – malaysia tribune – malaysia tribune

Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, MCMC juga telah melaksanakan tindakan sekatan ke atas 549 laman lucah dan 69 laman pelacuran, manakala bagi tindakan penguatkuasaan sebanyak tujuh kes masih di bawah siasatan MCMC kerana melibatkan kandungan lucah.

“Penglibatan kementerian menerusi MCMC dalam hal ini adalah dengan memberikan bantuan teknikal kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti penurunan kandungan media sosial dan juga sekatan laman sesawang serta pembekalan maklumat dan analisis forensik digital untuk mempercepatkan proses siasatan.

“Selain itu, MCMC (turut) melaksanakan tindakan penguatkuasaan berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia [Akta 588] sekiranya kandungan yang dimuat naik adalah bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya,” kata Nie Ching, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) mengenai perancangan kerajaan bagi membanteras budaya Dark Side, dan tindakan terhadap pengendali akaun media sosial yang menawarkan aktiviti pelacuran di Dewan Rakyat, hari ini.

Nie Ching menambah, peruntukan sedia ada seperti Kanun Keseksaan [Akta 574] adalah terpakai dalam melaksanakan penguatkuasaan dan tindakan perundangan terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat dalam aktiviti pelacuran.

“Tindakan ini akan diteruskan oleh MCMC dari semasa ke semasa berdasarkan pemantauan dan aduan yang diterima daripada pihak berkuasa dan orang awam,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button