KKDW peruntuk RM1.7 juta kepada usahawan desa beralih ke teknologi baharu
AYER KEROH – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM1.7 juta kepada usahawan desa yang beralih kepada teknologi baharu dan pendigitalan pada tahun ini.
Peruntukan itu digunakan untuk memberi pendedahan secara langsung serta praktikal berhubung penguasaan teknologi kepada usahawan terbabit.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKDW, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, kementerian menyasarkan 1,200 usahawan desa dilatih menerusi penganjuran Program Pendigitalan Usahawan Desa (PPU).
“Selaras dengan perkembangan transformasi digital yang pesat ini, KKDW turut mengambil inisiatif memperkenalkan penggunaan teknologi pintar dalam pelaksanaan program ini.
“Teknologi pintar yang dimaksudkan termasuk teknologi kecerdasan buatan (AI) dan kecerdasan pengguna (CI),” katanya selepas merasmikan Program Pendigitalan Usahawan Desa Siri 2 Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), hari ini.
Majlis tersebut turut menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara Pentadbiran Desamall dan rakan strategik PPU yang baharu iaitu Lalamove, Dattle dan Beez.
Jelas beliau, penggunaan teknologi itu berfungsi untuk menganalisa keperluan setiap usahawan desa terbabit bagi mengenal pasti dan mencadangkan solusi digital yang bersesuaian dalam mendigitalkan pengurusan dan pengoperasian perniagaan yang diusahakan.
“PPU di bawah Program Desamall itu adalah inisiatif tambahan yang dilaksanakan kementerian untuk merapatkan jurang digital dengan membantu usahawan desa meningkatkan produktiviti dan kecekapan.
“Kita sasarkan peningkatan pendapatan usahawan ini antara 10-30 peratus selepas tempoh setahun memasarkan produk dalam talian” ujarnya lagi.
Sementara itu, PPU juga memudahkan usahawan desa mengadaptasi dan menceburi perniagaan secara atas talian melalui 12 modul dengan kerjasama 25 rakan strategik KKDW.
Antaranya Bank Islam; Bank Simpanan Nasional (BSN); Maybank; Rural Capital Berhad; Mesinkira; Bayarlah; Fasspay; Boost Biz; CelcomDigi; Maxis; Troopers; Ohsem Ads; Maybank Sama-sama Lokal; Lazada; Shopee; Peasy; MyMall; Petron Malaysia; Halal Development Corporation (HDC); IPVolusi; TikTok Shop Malaysia; Malaysia Digital Economy Corporation (MDeC); Dattel; Lalamove dan MyNIC.
Selain itu, sebanyak lima siri jelajah PPU direncanakan KKDW sehingga hujung tahun ini yang meliputi Perlis pada Julai, Sarawak (Ogos), Pahang (September) dan Sabah (Oktober).
Sebelum ini, PPU siri 1 telah diadakan pada Februari lalu di Kota Damansara, Selangor yang melibatkan seramai 161 usahawan desa.