Politik

Dokumen belum lengkap, Mohd Azizi tangguh failkan afidavit

KOTA BHARU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim menangguhkan pemfailan afidavit bagi mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berhubung kekosongan kerusi yang disandangnya kerana masih belum melengkapkan beberapa dokumen.

Peguam kepada Mohd Azizi, R. Aswath memaklumkan, afidavit berkenaan bermungkinan akan difailkan esok atau Selasa ini.

“Memang sepatutnya kita fail, hari ini namun kita tidak dapat berbuat demikian kerana beberapa dokumen tidak lengkap.

“Mungkin esok atau lusa kita failkan. Kita hanya failkan menerusi dalam talian sahaja,” katanya ketika dihubungi portal Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, Mohd Azizi berkata, beliau menyerahkan perkara terbabit kepada peguamnya untuk memfailkannya di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

“Mengikut peguam, kita ada tiga defendan iaitu yang pertama Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan defendan ketiga adalah Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

“Dalam kes ini, kita fail untuk mohon injuksi supaya mahkamah keluarkan injuksi untuk tangguh dulu keputusan diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) dalam masa terdekat,” katanya.

Laporan media sebelum ini menyebut, Mohd Amar mengumumkan kekosongan DUN Nenggiri.

Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang ADUN dan Parti BERSATU mengenai keahlian Mohd Azizi Abu Naim yang digugurkan.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri pada 28 Jun ini bagi membincangkan pelaksanaan pilihan raya berkenaan.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button