
BERSATU liabiliti dalam PN
PUTRAJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sepatutnya sedar kedudukannya dalam Perikatan Nasional (PN) adalah satu liabiliti yang tidak menguntungkan sekutu politiknya.
Jurucakap kerajaan yang juga Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, oleh kerana itu, BERSATU perlu berasa risau dan gerun jika wujud perbincangan antara UMNO serta PAS untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya rasa sebenarnya yang berasa gerun adalah BERSATU.
“BERSATU pasti sangat bimbang kerana mereka adalah liabiliti kepada PN dan PAS,” katanya pada sidang akhbar pasca Kabinet, di sini hari ini.
Malah, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, dalam konteks Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, wujud permintaan daripada ahli PAS untuk menghantar wakil parti itu sebagai calon walaupun ia adalah kerusi BERSATU.
Bagaimanapun, Fahmi menambah, beliau difahamkan perbincangan ke arah itu tidak berlaku seperti mana yang dinyatakan oleh pemimpin UMNO.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, mendedahkan wujudnya beberapa siri pertemuan bersama pemimpin utama UMNO untuk membincangkan kerjasama bagi menghadapi PRU16.
Ahmad Fadhli dilaporkan berkata, pertemuan itu bagaimanapun dibuat secara tidak rasmi dengan pemimpin UMNO yang tidak didedahkan.
Susulan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tiada pertemuan atau perbincangan rasmi antara parti itu dengan PAS.
Timbalan Perdana Menteri turut dilaporkan sebagai berkata, beliau juga secara peribadi tidak bertemu dengan mana-mana pemimpin parti terbabit.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |