Bisnes & Ekonomi

IMD 2024: Kelemahan ringgit beri impak penurunan kedudukan Malaysia

KUALA LUMPUR – Kelemahan mata wang ringgit pada tahun lepas menjadi faktor utama penurunan kedudukan Malaysia di tangga ke-34 dalam senarai Ranking Daya Saing Dunia IMD 2024.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Tengku Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, berdasarkan kajian awal kementerian tersebut, isu utama yang mengakibatkan kejatuhan kedudukan negara dari tangga ke-27 adalah disebabkan penggunaan data pada 2023 untuk mengukur daya saing negara.

“Ia (laporan) berdasarkan data tahun lepas, 2023, berbanding dengan tahun 2022, jadi ketinggalan satu tahun di situ. Faktor yang mempunyai kesan paling ketara ialah kestabilan ringgit, seperti yang ditonjolkan dalam ranking,” katanya memetik laporan Bermama.

Terdahulu beliau merasmikan the Centralised Sustainability Intelligence (CSI) Solution di Bursa Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata kelemahan ringgit tahun lepas mempunyai pelbagai implikasi, termasuk penilaian pelaburan, produktiviti, dan kecekapan yang berkait rapat dengan nilai mata wang itu, seterusnya mencerminkan kebimbangan mengenai kestabilan ekonomi.

“Seperti yang diketahui, ringgit terjejas pada 2023, dan itu memberi kesan kepada daya saing kita, tetapi kini ringgit telah mengukuh, dan jika momentum yang sama berterusan, kedudukan itu sepatutnya bertambah baik,” katanya.

“Ini adalah seiring dengan kelembapan perdagangan di seluruh dunia, tetapi tahun ini kita dapat melihat sektor itu bertambah baik.

“Kini, jumlah dagangan telah meningkat dengan ketara, kira-kira lebih 10 peratus pada Mei 2024,” katanya.

Malaysia turun tujuh anak tangga untuk menduduki tempat ke-34 daripada 67 negara dalam Kedudukan Daya Saing Dunia IMD 2024, selepas berada di kedudukan ke-27 dalam indeks itu tahun lepas.

Di rantau Asia Pasifik, Malaysia turun empat anak tangga untuk berada di kedudukan ke-10 daripada 14 negara.

Show More

Related Articles

Back to top button