Berita Semasa

MyHeart beri latihan robotik, Ai kepada 120 pelajara di Lahad Datu

KUALA LUMPUR – Kira-kira 120 pelajar sekolah rendah dan menengah di Lahad Datu, Sabah akan menerima latihan robotik dan kecerdasan buatan (AI) melalui inisiatif Malaysia at Heart oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Program yang dikelolakan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Social Value Malaysia (SVM) itu akan bermula pada Ogos tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, KESUMA memperuntukkan sebanyak RM60,000 untuk dimanfaatkan sebagai penyediaan latihan asas kepada 60 orang guru dengan melibatkan kepakaran rakyat Malaysia di luar negara.

“Dana ini akan membantu memperkasa 60 guru sekolah di Lahad Datu untuk membolehkan mereka melatih lebih daripada 120 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam asas Robotik dan AI yang diintegrasikan ke dalam pembelajaran.

“Inisiatif Malaysia at Heart (MyHeart) oleh TalentCorp menunujukkan komitmen KESUMA terhadap pembangunan bakat dan modal insan melibatkan rakyat di dalam dan luar Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program anjuran TalentCorp di London yang turut dihadiri oleh 300 rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom, baru-baru ini.

Steven berkata, melalui inisiatif itu, KESEMUA berhasrat memperluaskan strategi dalam memanfaatkan kepakaran rakyat Malaysia di luar negara sekaligus menyumbang bakti dalam pembangunan negara.

“Kami amat berbangga kerana dapat menyokong rakyat Malaysia di luar negara untuk menyumbang pengetahuan dan pengalaman mereka demi manfaat tanah air,” katanya.

Untuk rekod, SVM adalah sebuah perusahaan impak sosial yang diasaskan secara bersama oleh dua orang rakyat Malaysia iaitu Dr. Jane Chang dan Profesor Dr. Ainurul Rosli dari Brunel University London.

Steven Sim berucap pada program anjuran TalentCorp di London yang turut dihadiri oleh 300 rakyat Malaysia yang menetap di United Kingdom, baru-baru ini.

Kedua-duanya mereka merupakan ahli lembaga Malaysia Impact Alliance (MyImpact), sebuah NGO bebas yang menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan pelaburan ekosistem Impak Malaysia.

Pada majlis itu, Steven turut memperkenalkan inisiatif MyHeart Innovate iaitu sebuah program berdurasi tiga bulan untuk rakyat Malaysia di luar negara yang bercita-cita menubuhkan syarikat pemula di Malaysia.

“Usaha ini melibatkan kerjasama antara Cradle dan BEYOND4 yang menawarkan laluan lebih tersusun bagi usahawan baharu untuk memperoleh kemahiran, akses kepada mentor berpengalaman, pakar industri, serta potensi pembiayaan perniagaan,” katanya.

Steven berkata, permohonan rakyat Malaysia dari luar negara boleh dibuat melalui TalentCorp MyHeart Innovate manakala yang berada di Malaysia boleh mengemukakan permohonan menerusi program TalentCorp MyNext Innovate.

Sebarang pertanyaan boleh dipanjangkan kepada anis.kamil@talentcorp.com.my | 019-390 5987

 

Show More

Related Articles

Back to top button