Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Penjawat awam seleweng kuasa untuk projek sendiri ditahan SPRM

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang penjawat awam dipercayai menyalahgunakan kuasa bagi mendapatkan dua perolehan perkhidmatan penyewaan mesin fotostat dan kerja pemasangan sinki serta paip berjumlah kira-kira RM40,000.

Suspek wanita berusia lingkungan 50 tahun yang bertugas di sebuah sekolah di negeri ini ditahan pada pukul 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Tawau.

Susulan penahanan itu, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau bagi tujuan pertuduhan pagi esok.

Menurut sumber, suspek disyaki menggunakan jawatannya pada tahun 2020 sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) untuk mendapatkan suapan.

“Suspek dikatakan mempelawa sebuah syarikat bagi perkhidmatan penyewaan mesin fotostat dan copyprinter yang bernilai kira-kira RM20,000 sedangkan kerja berkenaan dilakukan oleh suspek sendiri.

“Pada tahun sama, suspek juga disyaki menggunakan jawatannya untuk memilih syarikat yang dimiliki kepentingan oleh suaminya untuk kerja pemasangan sinki, perpaipan dan lain-lain yang juga bernilai kira-kira RM20,000,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan berkata, kes akan dituduh mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

Show More

Related Articles

Back to top button