Berita Semasa

Malaysia, China dijangka akan meterai Program Lima Tahun bagi Kerjasama Ekonomi – Tengku Zafrul

SHAH ALAM – Malaysia dan China dijangka akan menandatangani Program Lima Tahun bagi Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan semasa lawatan sulung Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, kedua-dua negara telah bersetuju untuk melaksanakan pusingan kedua Program Lima Tahun Malaysia-China bagi Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan yang akan memperkukuh hubungan antara industri dalam sektor utama seperti pembuatan peringkat tinggi dan ekonomi digital.

Tambahnya, program itu akan dapat mengeratkan lagi kerjasama dalam robotik, pembangunan usahawan, inovasi dan syarikat pemula niaga, serta penyelidikan dan pembangunan dalam pertanian dan industri utama.

“MoU ini akan menetapkan hala tuju syarikat dari Malaysia dan China mengenai peluang pelaburan dan perniagaan dalam pelbagai sektor,” katanya semasa melancarkan kilang pemasangan Chery Malaysia, di sini hari ini.

Selain kerjasama ekonomi dan perdagangan, dua memorandum persefahaman (MoU) kerajaan kepada kerajaan dijangka akan turut dimeterai semasa lawatan itu, merangkumi MoU mengenai pengukuhan kerjasama pelaburan dalam ekonomi digital serta MoU berkaitan usaha menggalakkan kerjasama pelaburan dalam pembangunan hijau.

Perdana Menteri China Li Qiang akan mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia bermulas esok hingga 20 Jun.

Ini merupakan lawatan pertamanya ke Malaysia sebagai Perdana Menteri China.

Lawatan beliau juga adalah sempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.

“Bagi Malaysia, ulang tahun ke-50 bukan sekadar meraikan sebuah pencapaian malah juga titik penting untuk melakarkan masa depan kerjasama ekonomi kita yang menumpukan pembangunan negara dan serantau,” katanya lagi.

Beliau kemudiannya menambah, berdasarkan tonggak ekonomi itu, kira-kira 60 program akan dijalankan sama ada di Malaysia atau China, diterajui pelbagai agensi kerajaan, komuniti perniagaan dan badan pemikir.

Show More

Related Articles

Back to top button