Jenayah & Mahkamah

Halim Saad rayu keputusan mahkamah batal saman terhadap Dr Mahathir, Nor Yakcop

KUALA LUMPUR – Tokoh korporat, Tan Sri Halim Saad merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman dikemukakan beliau terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain berhubung dakwaan mengalami kerugian selepas diarahkan kerajaan menjual saham miliknya dalam Renong Berhad.

Beliau memfailkan notis rayuannya di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan melalui firma guaman, Tetuan Surendra Ananth, menamakan Mahathir Mohamad dan dua lagi, iaitu bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan, selaku responden.

Saman itu difailkan Halim yang juga bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong terhadap ketiga-tiga pihak terbabit pada 2 Ogos tahun lalu.

Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes rayuan berkenaan pada 9 September ini melalui prosiding yang akan dijalankan secara e-Review.

Pesuruhjaya Kehakiman Dr Suzana Muhamad, membenarkan permohonan ketiga-tiga pemohon membatalkan saman dikemukakan tokoh korporat berkenaan dalam keputusan Mahkamah Tinggi pada 14 Mei lalu selepas mendapati satu lagi kes saman difailkan Halim sebelumnya terhadap Khazanah Nasional Berhad, Nor Mohamed dan kerajaan pada 2013, membabitkan isu sama, sudah diputuskan mahkamah.

Suzana Muhamad berkata, apa sahaja isu yang ada, prinsip res judicata (prinsip bahawa kausa tindakan tidak boleh dikemukakan semula antara pihak sama apabila ia sudah dinilai berdasarkan merit) dan alasan tempoh had masa adalah terpakai.

“Ketiga-tiga pemohon memohon writ saman dan pernyataan tuntutan Halim dibatalkan atas alasan ia adalah remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah, katanya menurut laporan BH online.

Halim berkata, tuntutan beliau berdasarkan pelanggaran haknya oleh Kerajaan Malaysia ketika diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed untuk tidak meneruskan pemerolehan 32.69 peratus dalam Renong daripada United Engineers Malaysia Berhad (UEM) menerusi saman pada Ogos tahun lalu.

“Ia menurut Opsyen Jual yang dilaksanakan ke atasnya oleh UEM pada Disember 2000. Ketika itu, Dr Mahathir atas kapasiti sebagai Perdana Menteri dan Nor Mohamed pula sebagai Penasihat Ekonomi Khas kepada Perdana Menteri,” katanya lagi.

Halim turut berkata, pada masa material, Renong memegang 37.92 peratus saham UEM dan beliau pemegang saham individu tunggal terbesar dan mengawal konglomerat berkenaan.

“Saya berniat membuat tawaran am ke atas UEM, sama ada melalui Renong atau bersama syarikatnya itu untuk menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong yang akan membolehkan beliau memperoleh kawalan dan milikan penuh ke atas UEM melalui Renong,” katanya lagi.

Beliau mendakwa diarahkan Dr Mahathir dan Nor Mohamed secara langsung supaya tidak meneruskan tawaran am kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui Khazanah atau pihak yang akan dicalonkan oleh Khazanah.

Halim dengan itu memohon perisytiharan, antaranya beliau pemegang saham Renong dan bukannya UMNO, selain mendakwa kerajaan melanggar Perkara 8 (1) atau Perkara 13 (2) Perlembagaan Persekutuan kerana gagal memberikan pampasan memadai kepadanya.

Beliau juga memohon perintah supaya kerajaan membayar pampasan kepadanya dan menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan atau teruk, faedah, kos atau relif yang sesuai oleh mahkamah.

Show More

Related Articles

Back to top button