Berita Semasa

Sektor tidak layak subsidi diberi amaran tidak naikkan harga

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi amaran kepada sektor-sektor yang tidak pernah dan tidak layak menerima subsidi diesel supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan mengharapkan satu tindakan yang tegas dapat diambil oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sekiranya perkara itu berlaku.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian selepas pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dilaksanakan, pihak mendapati ada sektor yang mula menaikkan harga bagi perkhidmatan atau produk yang disediakan.

“Kita juga telah meneliti kenyataan daripada Menteri KPDN semalam mengenai kenaikan harga dalam sektor pembinaan.

“Orang ramai memuat naik pengumuman kenaikan harga daripada pemain dalam sektor pembinaan.

“Kenaikan harga barang ini dibuat atas dasar mereka tidak lagi menerima subsidi diesel sedangkan bila disemak mereka tidak layak menerima subsidi diesel,” katanya hari ini.

Sehubungan itu katanya, kerajaan memberi peringatan keras kepada mana-mana pihak termasuk dalam sektor makanan dan minuman (F&B) dan juga barang keperluan harian supaya tidak menaikkan harga.

“Subsidi masih ada bagi sektor-sektor yang telah diumumkan, cuma untuk pastikan PM mahu pelaksanaan penyasaran subsidi ini berjalan dengan lancar,” katanya.

Sementara itu Fahmi selaku Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, kerajaan mendapati aktiviti berkaitan penyeludupan diesel terutama di kawasan sempadan mula berkurangan sejak pelarasan subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kerajaan.

Show More

Related Articles

Back to top button