Johor mohon 30 peratus hasil cukai negeri
JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya 30 peratus hasil cukai negeri diberikan kepada Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu penting bagi memastikan Bangsa Johor terus mendapat limpahan hasil negeri untuk segala pembangunan negeri ke tahap yang lebih baik.
Beliau berkata, ia elari dengan dengan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, baru-baru ini dan kerajaan negeri telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya sekurang-kurangnya 30 peratus hasil cukai negeri diberikan kepada negeri.
“Permohonan ini telah dibuat semasa sesi terima menghadap Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican; Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron dan Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan, Datuk Shahrol Anuwar Sarman, hari ini.
“Antara perkara lain yang dibincangkan adalah mengenai cadangan membina persimpangan bertingkat baharu di Link Kedua, projek pembinaan baraj dan takungan air pinggiran sungai di Sunhgai Sedili Besar dan program pemuliharaan Sungai Skudai di Kulai dan Johor Bahru.
“Turut dibincangkan adalah projek khas berimpak tinggi negeri Johor iaitu cadangan pembangunan Sistem Aliran Transit Automasi Bertingkat atau Elevated Autonomous Rapid Transit (E-ART), bagi sistem pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia dan cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 4 (LPT4) dari Mersing – Kota Tinggi – Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahad lalu, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan mencadangkan Johor untuk mewujudkan Gabungan Bangsa Johor supaya sentimen politik dan kepentingan negeri ini diputuskan oleh rakyat Johor dan bukan orang luar.
Baginda dilaporkan bertitah, Gabungan Bangsa Johor itu boleh memperbaiki sistem dalam negeri ini demi kepentingan kehidupan generasi akan datang supaya lebih terpelihara.
“Kita perlu lihat kepentingan sesuatu agenda itu apa yang memberi manfaat kepada negeri kita. Sampai bila Johor nak jadi pengemis.
“Biar Johor jaga kepentingan negeri kita sebab di Putrajaya, mereka tidak faham sentimen keperluan kita, saya nak tengok yang bangunkan negeri ini anak-anak Johor, bukan orang lain.
“Kalau kita ada Gabungan Bangsa Johor macam parti politik di Sarawak, jika Sarawak boleh buat, kita pun boleh buat. Itu saya harap akan berubah dari segi cara pemikiran dengan ada gabungan ini.
“Jika tidak ubah cara pemikiran kita, saya fikir sampai bila-bila Johor akan jadi pengemis, sampai bila-bila Johor kena minta permohonan, itu pun tengok juga kalau kita ini jadi keutamaan atau tidak,” titah baginda ketika sesi podcast secara langsung pada Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity