Berita Semasa

10,000 pelajar tidak ambil SPM dipelawa ceburi bidang TVET – TPM Zahid

KUALA LANGAT – Lebih 10,000 pelajar yang tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dipelawa untuk menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, setakat ini, terdapat lebih daripada 250,000 tempat dengan potensi kira-kira 280,000 lepasan SPM akan menyertai kursus TVET di seluruh negara.

“Kita harap pengambilan pertama bulan Julai ini akan dapat menyerapkan sekurang-kurangnya 40 peratus memasuki TVET.

“Kita tawarkan asalkan mereka mempunyai 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Saya fikir semua orang mempunyai kemahiran itu minimum dan kita tawarkan kursus TVET ini agar masa depan mereka terjamin.

“Permohonan untuk memasuki mana-mana institusi TVET ini boleh dibuat secara dalam talian UP_TVET dan kita berikan 10 pilihan dan kita akan pastikan setiap permohonan ini mendapat tempat,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Sambutan Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat bemula hari ini hingga esok. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau Sambutan Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat di sini, hari ini.

Seramai 15,000 pengunjung dijangka akan memeriahkan HTN 2024 kali ini dengan
pelbagai pengisian disediakan buat para pengunjung.

Selain itu, hampir 500 program serta pelbagai aktiviti yang akan dijalankan bagi mendedahkan kepada orang awam tentang pelbagai potensi di dalam bidang TVET.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melawat reruai semasa Sambutan Hari TVET Negara (HTN) 2024 di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat hari ini. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga merupakan Pengerusi Majlis TVET Negara, turut mempelawa pekerja-pekerja p-hailing dan e-hailing untuk meningkatkan kemahiran menerusi kursus TVET.

“Begitu juga untuk pekerja-pekerja e-hailing dan p-hailing yang mana terdapat lebih 1.16 juta yang terlibat dalam pekerjaan ini dan kita tawarkan up-skilling selepas umur tertentu apabila produktiviti mereka menurun merek boleh daftar kursus TVET ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dilaporkan berkata, seramai 10,160 daripada 383,685 calon baharu SPM 2023 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.

Show More

Related Articles

Back to top button