Jenayah & Mahkamah

Rasuah daftar perkahwinan RM1 juta, tiga direman

KANGAR – Tiga individu direman lima hari selepas disyaki menerima rasuah lebih RM1 juta melibatkan urusan pendaftaran perkahwinan bagi pasangan yang bernikah di Thailand.

Perintah reman terhadap kesemua suspek lelaki yang berusia sekitar 20 hingga 50 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini.

Menurut sumber, suspek pertama yang bekerja sebagai pendaftar perkahwinan dipercayai menerima rasuah daripada seorang pemilik syarikat bagi membolehkan pasangan yang bernikah di Thailand mendaftar perkahwinan di jabatan agama negeri tanpa mematuhi prosedur ditetapkan.

“Suspek pertama dipercayai telah berurusan dengan pemilik syarikat berkenaan menerusi perantara iaitu bapanya yang bertindak sebagai orang tengah.

“Suspek dipercayai telah melakukan perbuatan berkenaan sejak 2022 sehingga 2023 dan telah menerima wang rasuah keseluruhannya dianggarkan lebih RM1.18 juta,” kata sumber SPRM hari ini.

Suspek pertama ditahan sekitar pukul 4 hingga 7 petang semalam di pejabatnya.

Sementara itu, pemilik syarikat dan bapanya pula ditahan sekitar pukul 6 petang ketika hadir di Pejabat SPRM Perlis untuk merakamkan keterangan.

Sehubungan itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan terhadap suspek terbabit.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button