Gempa Turkiye: 65 wira negara, 2 anjing K9 selamat pulang ke tanah air
SEPANG – Seramai 65 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat (MAS-10) yang menjalankan misi mencari dan menyelamat (SAR) di wilayah Gaziantep, Turkiye selamat tiba di tanah air hari ini.
Kesemua mereka selamat pulang menerusi 2 penerbangan Turkish Airlines yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, mereka terdiri daripada anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) NADMA, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 3 petugas media.
“Saya berkesempatan menyambut ketibaan penerbangan pertama yang tiba pada sebelah tengah hari melibatkan seramai 30 anggota dan 3 orang wartawan, manakala untuk penerbangan kedua seramai 35 anggota lagi dijangka tiba pada jam 5 petang,” katanya dalam sidang media di KLIA hari ini.
Sementara itu katanya, seramai 70 anggota kumpulan pertama MAS-01 bersama 5 anggota kumpulan kedua MAS-10 yang masih berada di Turkiye dijangka akan pulang dalam masa terdekat.
Untuk rekod, katanya, keanggotaan bagi 2 kumpulan Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) MAS-01 dan MAS-10 adalah seramai 140 orang selain melibatkan dua ekor anjing pengesan (K9).
“Selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, pasukan penyelamat Malaysia menjalankan misi SAR di Gaziantep bermula pada 8 Februari 2023 sehingga Kerajaan Turkiye mengumumkan operasi memasuki fasa pemulihan.
“Selain operasi SAR, pasukan ini turut terlibat membantu kerja-kerja pemasangan khemah perlindungan untuk mangsa-mangsa yang terkesan,” ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, sepanjang menyertai misi itu, pasukan SAR Malaysia telah dapat menyelamatkan 5 mangsa yang masih hidup selain berjaya mengeluarkan 47 mangsa yang telah meninggal dunia di bawah runtuhan.
“Pada masa yang sama, sepanjang operasi, petugas SAR Malaysia untuk berhadapan dengan masalah kesihatan. Terdapat 9 anggota pasukan penyelamat negara yang mengalami masalah kesihatan seperti demam, kecederaan bahu dan lutut.
“Semua yang terlibat telah pulih setelah mendapat rawatan oleh Pasukan Medic selain seorang yang telah mendapat rawatan lanjut di Hospital Ankara,” katanya.
Selain itu ,katanya, kerajaan juga akan memberikan insentif khas kepada para petugas yang terlibat dalam bentuk pingat penghargaan dan elaun khas sebagai menghargai segala pengorbanan dan khidmat bakti yang dilakukan oleh semua anggota yang terlibat.