Berita Semasa

Pengarah urusan rugi setengah juta diperdaya ‘pegawai polis’

JOHOR BAHRU – Seorang pengarah urusan sebuah syarikat swasta kerugian RM520,000 selepas dipercayai ditipu seorang lelaki menyamar sebagai pegawai polis, awal Mei lalu.

Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun mengenai penipuan dalam talian itu, semalam.

“Individu itu memberitahu kad ATM mangsa ditemui dalam satu serbuan polis dan mendakwa mangsa terbabit dalam penggubahan wang haram.

“Talian kemudian disambungkan kepada seorang individu lain yang mendakwa dirinya pegawai polis bernama ‘Inspektor Lee Kha Seng’ yang menawarkan bantuan bagi mengelakkan akaun mangsa disekat dan wangnya disita.

“Caranya dengan memindahkan wang mangsa ke dalam sebuah akaun bank yang diarahkan, sementara polis menjalankan siasatan,” katanya hari ini.

Terdahulu, mangsa turut menerima mesej menerusi WhatsApp dengan kepala surat mahkamah yang menyatakan tindakan penyiasatan, penangkapan dan pembekuan aset akan diambil terhadap mangsa.

Jelas Kumar, mangsa mempercayai panggilan tersebut daripada polis selepas inspektor terbabit membacakan nama dan nombor kad pengenalan mangsa dengan betul.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada khususnya dalam urusan membabitkan transaksi kewangan.

“Gunakan perkhidmatan Semak Mule yang disediakan secara dalam talian dan muat turun aplikasi ‘Whoscall’ bagi menyemak status akaun bank dan nombor telefon suspek, sebelum meneruskan dengan sesuatu transaksi pembayaran sekali gus mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan.

“Maklumat berkaitan modus operandi jenayah komersial pula boleh diperoleh menerusi pelbagai platform media sosial rasmi polis Johor seperti Facebook, Instagram dan TikTok,” ujarnya.

Sementara itu, orang ramai yang terlibat dalam penipuan boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 dengan segera sebagai langkah awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek.

Show More

Related Articles

Back to top button