Berita Semasa

Isu perlantikan Asia Mobility, Badan Bas sengaja ditimbulkan untuk kelirukan rakyat – Amirudin

PETALING JAYA –Isu berhubung lantikan pengendali Projek Rintis Demand-Responsive Transit (DRT) baru-baru ini adalah tidak tepat, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata isu perlantikan yang melibatkan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd dan Badan Bas Coach Sdn Bhd itu sengaja ditimbulkan untuk mengelirukan masyarakat.

Jelasnya, lantikan tersebut dibuat berdasarkan pemakluman Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di mana hanya kedua-dua syarikat itu mempunyai kelulusan Proof of Concept (POC) (pembuktian konsep)

“APAD memaklumkan hanya dua syarikat Badan Bas dan Asian Mobility yang diberikan kebenaran untuk POC. Justeru, kerajaan menjemput kedua-duanya.

“Jadi tidak timbul adakah kita tidak panggil kerana kalau kita buat tender terbuka pun hanya dua syarikat pada ketika itu mempunyai kebenaran untuk membuat POC,” katanya ketika ditemui pemberita ketika perasmian Kejohanan Golf Junior Antarabangsa Selangor 2024 di Kelab Seri Selangor, di sini.

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan bahawa syarikat-syarikat e-hailing dalam negara yang disebutkan sebelum ini tidak memiliki POC daripada APAD.

“Dan bila dilontarkan pula “Kenapa tidak ambil Prasarana?” Untuk makluman beliau Prasarana hanya muncul kemudian, selepas dua badan ini mendapat kebenaran dan sebenarnya daripada sebelum itu ada lagi satu tapi tidak dapat kebenaran juga. Selepas ini kita juga akan panggil Prasarana dan Kumpool untuk POC setelah dapat kebenaran daripada APAD,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut berkata bahawa pihaknya tiada masalah untuk mendedahkan perincian penuh berkaitan pelantikan kedua-dua syarikat itu.

“Kita tidak ada masalah dedahkannya, kita ada jawatankuasa dewan dan kita boleh buka. Mereka boleh minta minit mesyuarat yang turut dihadiri oleh APAD.

“Kita sangat terbuka. Kita ada kebebasan maklumat beri ruang mereka dapatkan dokumen, tidak ada benda pelik dan sebagainya,” katanya lagi.

Sebelum ini, perlantikan syarikat pengendali DRT itu dipertikai selepas disyaki tidak melalui tender terbuka.

Salah satu syarikat dilantik iaitu Asia Mobilty mempunyai kaitan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di mana suaminya merupakan ketua pegawai eksekutif syarikat terbabit.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian memberi penjelasan bahawa tiada sebarang kesalahan undang-undang dilanggar dalam pemberian kontrak tersebut kepada syarikat milik bersama suami Hannah itu.

Show More

Related Articles

Back to top button