MCMC perkukuh kerjasama banteras jenayah siber di Asia Tenggara bersama UNODC
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan bekerjasama erat dengan Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) untuk membanteras jenayah siber di seluruh Asia Tenggara.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan,
komitmen itu ditegaskan pada sesi Dialog Dasar Bersama UNODC mengenai Peraturan Industri dan Penguatkuasaan dalam Mengurus Jenayah Siber yang diadakan dari 28 hingga 29 Mei.
Katanya, dialog itu khusus untuk menangani ancaman dalam alam digital yang semakin dinamik dan sentiasa berkembang.
“Dialog ini berfungsi sebagai platform kritikal untuk penggubal dasar, agensi penguatkuasaan undang-undang dan pemimpin industri untuk membincang dan merangka strategi untuk dunia digital yang lebih selamat.
“Ia termasuk mengukuhkan peraturan untuk platform Over-the-Top (OTT) dalam membendung jenayah siber dan penyebaran kandungan haram,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu katanya, MCMC sentiasa menyokong penyelesaian teknologi yang mengutamakan keselamatan pengguna dan mengurangkan penyebaran kandungan terlarang merentas platform dalam talian.
“MCMC memainkan peranan penting dalam memudahkan perbincangan untuk menangani cabaran peraturan platform OTT dan penggubalan dasar pencegahan jenayah siber yang komprehensif, memperjuangkan pendekatan kolaboratif untuk meningkatkan keselamatan digital dan rangka kerja kawal selia.
Di samping itu, SKMM turut mengambil sikap proaktif dalam memperkukuh rangka kerja pengawalseliaan dan dasar serantau melalui perkongsian maklumat aktif dan kerjasama dengan wakil kerajaan dari Malaysia, Thailand Laos, Vietnam, Filipina dan Indonesia.
“Usaha ini bertujuan untuk membangunkan strategi serantau yang mantap dan pelan tindakan untuk memerangi jenayah siber secara berkesan, memfokuskan pada meningkatkan keselamatan serantau, meningkatkan kerjasama rentas sempadan, dan mengukuhkan rangka kerja undang-undang sambil mengimbangi inovasi teknologi dengan peraturan yang teguh.
“Memahami arah aliran utama dan memandu arah landskap kawal selia yang sedang berkembang adalah penting untuk mencapai kejayaan dalam pengawasan kawal selia dan memastikan ekosistem digital yang berdaya tahan.
“Keseimbangan sedemikian adalah penting untuk memupuk persekitaran digital yang selamat dalam memupuk pertumbuhan ekonomi sambil melindungi hak asasi manusia.
“Melalui dialog berterusan dan usaha bersepadu, MCMC berusaha untuk membuka jalan bagi masa depan digital yang lebih selamat dan berdaya tahan untuk semua,” katanya.