4 lelaki warga asing ceroboh Pangkalan TLDM diberkas
KLANG – Empat individu warga asing yang mengambil gambar di hadapan Pusat Hidrografi Nasional, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Bandar Armada Putra dekat sini berjaya diberkas pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan pencerobohan suspek terbabit di pintu utama Pusat Hidrografi Nasional itu kira-kira pukul 8 malam.
“Siasatan mendapati kejadian kira-kira jam 6 petang itu berlaku ketika anggota TLDM bertugas mendapati empat lelaki terbabit sedang berlegar-legar di jalan berhadapan pintu masuk.
“Kesemua suspek didapati berjalan kaki sampai ke hujung pintu masuk dan berpura-pura mengambil gambar sebelum mereka kemudiannya ditahan anggota TLDM yang bertugas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, kesemua suspek yang merupakan lelaki warga asing berumur antara 21 hingga 36 tahun itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau.
Katanya, suspek terbabit ditahan bersama telefon bimbit yang dipercayai digunakan sewaktu kejadian itu.
Menurutnya lagi, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan.