Berita SemasaSukan

Selangor FC mohon jangan buat andaian, spekulasi kes Khuzaimi

KUALA LUMPUR – Selangor FC (SFC) memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berbubung insiden membabitkan kediaman pemain pertahanannya, Ahmad Khuzaimi Piee dipecah masuk, kelmarin.

Menurut SFC, kes berkenaan harus diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi siasatan dijalankan dengan sebaiknya.

“Insiden itu menyebabkan Khuzaimi mengalami kerugian harta benda, namun dia dan keluarga selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.

“Pihak kelab kecewa dengan apa yang berlaku dan mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk jenayah di negara ini.

“Kami mendoakan keselamatan dan kesejahteraan Khuzaimi dan keluarganya serta diharap pelaku dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” kata SFC dalam kenyataan malam tadi.

Semalam, Khuzaimi yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan kehilangan sebuah motosikal, empat beg pelbagai jenama dan pasport dalam insiden itu.

Sehubungan dengan itu, Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata pihaknya akan membantu pemain dan pegawai kelab dalam menjamin keselamatan mereka.

“Nasib baik, Khuzaimi tiada di rumah ketika kejadian pecah masuk itu berlaku. Kami akan menyokong dan membantunya dalam apa jua kapasiti yang mampu,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button