Berita Semasa

Sekolah daif: 694 projek baik pulih disiapkan, 216 di peringkat prabina

ARAU – Sebanyak 694 projek membaik pulih sekolah daif di seluruh negara sudah disiapkan setakat Mac lepas.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, sebanyak 216 projek lagi kini berada di peringkat prabina.

Beliau turut berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi berkaitan khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan semua projek dapat disiapkan mengikut garis masa ditetapkan.

“Jadi prosesnya sentiasa kita tambah baik dari semasa ke semasa. Sebab itu apabila kerajaan MADANI mengambil alih kerajaan ini, tumpuan utama kita adalah menyelesaikan isu sekolah daif yang tidak pernah diselesaikan secara berfokus dan dengan baik sebelum ini dan kita ambil alih kita selesaikan.

“Jadi saya ingat soal tambah baik itu sentiasa berlaku dan penyelesaian telah pun dibuat dengan sangat baik. Kita bekerja dengan sangat pantas dengan kerjasama daripada agensi yang lain,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Fadhlina berkata demikian bagi mengulas kenyaataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang dilaporkan meminta KPM menghapuskan birokrasi dan memperbaiki semula sistem penyampaian sedia ada terutama dalam melibatkan peruntukan menaik taraf sekolah daif.

Menurut Fadhlina, tidak timbul isu berkenaan proses menaik taraf sekolah daif kerana kesemua projek dipantau secara teliti dan akan dipastikan siap mengikut garis masa ditetapkan.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pengisytiharan Nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein (sebelum ini SMK Arau) yang disempurnakan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Show More

Related Articles

Back to top button