PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau situasi COVID-19 dalam negara susulan peningkatan mendadak jangkitan tersebut di Singapura.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, buat masa ini jangkitan penyakit berkenaan masih berada dalam keadaan terkawal.
“Bagi minggu antara 12 hingga 18 Mei, terdapat 1,230 kes baharu COVID-19 berbanding 1,071 pada minggu sebelumnya, iaitu peningkatan sebanyak 14.8 peratus.
“Bagi kes kematian pula, tiada kematian baharu direkodkan sejak 25 April,” kata Dr Dzulkefly dalam ciapan di akaun X miliknya, hari ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, kes COVID-19 di Singapura meningkat mendadak dengan hampir dua kali ganda kes mingguan dilaporkan semalam.
Laporan sama turut menyebut, purata kemasukan harian ke hospital akibat COVID-19 turut meningkat kepada 250 daripada 181 pada minggu sebelumnya.
Peningkatan tersebut dikatakan disebabkan penularan varian KP.1 dan KP.2 virus COVID-19.
“Kedua-dua varian ini tidak menyebabkan jangkitan yang teruk, dan kita telah kesan penularannya dalam negara sejak Mac lalu.
“Buat masa ini, tiada peningkatan jumlah jangkitan yang ketara, dan kita akan terus memantau situasi bagi memastikan kita bersedia,” katanya lagi.
Beliau turut berpesan kepada orang ramai supaya sentiasa menjaga kebersihan dan mengurangkan interaksi sosial sekiranya berasa tidak sihat.
“Saya juga menasihatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka sekiranya berada dalam kawasan bersesak, dan sekiranya anda berada dalam kumpulan berisiko, dan menunjukkan simptom jangkitan,” katanya lagi.