Berita Semasa

Cedera di dagu akibat terlanggar benang di SUKE, lelaki tampil buat laporan polis

AMPANG – Seorang lelaki yang cedera setelah terlanggar benang yang direntang di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) menghala ke Plaza Tol Bukit Teratai, sudah tampil membuat laporan polis.

Ketua Polis Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, lelaki itu hadir membuat laporan polis di Balai Polis Trafik, IPD Ampang Jaya pada pukul 10.21 pagi tadi.

“Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut dan terperinci berkaitan kes itu,” katanya dalam laporan portal Sinar Harian, hari ini.

Azam semalam memohon seorang penunggang motosikal yang mendakwa cedera akibat ‘terkena’ benang di lebuh raya berkenaan tampil membuat laporan polis selepas satu hantaran berhubung kejadian itu menjadi tular di media sosial, semalam.

“Menerusi hantaran itu, individu tersebut mendakwa dagunya terkoyak akibat terkena benang melintang di SUKE selepas susur keluar Taman Kosas menghala Tol Bukit Teratai kira-kira 6.30 petang semalam.

“Pada masa sama, polis Ampang Jaya akan membuat siasatan awal dan perjumpaan dengan pengendali lebuh raya SUKE untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan tersebut, semalam.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan berkata pasukan peronda SUKE meningkatkan pengawasan di sepanjang lebuh raya berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button