Polis tahan seorang lagi suspek kes baling bom petrol
KUALA LUMPUR – Pihak polis telah menahan seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan kes baling bom petrol di sebuah pusat hiburan di ibu negara minggu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek berusia 28 tahun itu ditahan, kelmarin.
Menurut beliau, suspek kini direman 4 hari sehingga 16 Mei untuk membantu siasatan.
Manakala tempoh reman 4 suspek yang ditahan sebelum ini akan tamat hari ini.
Polis bagaimanapun, akan memohon lanjutan reman terhadap keempat-empat suspek itu.
Dalam kejadian 9 Mei lalu, empat lelaki menaiki dua buah motosikal berhenti di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng dan membaling bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden itu tular di media sosial.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan api.