PM arah menteri pilih segera kampung angkat masing-masing
PUTRAJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini memaklumkan barisan jemaah menteri turut diarah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mempercepatkan pemilihan ‘kampung angkat’ masing-masing.
Pada Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri dua hari lalu, Anwar telah meminta ketua pengarah dan ketua jabatan berbuat demikian bagi membantu rakyat di kawasan sendiri.
Usaha itu adalah sebahagian daripada langkah untuk menyelami masalah yang dihadapi di peringkat akar umbi pada masa yang sama melahirkan model kampung yang baik untuk dicontohi.
Saranan Perdana Menteri itu disuarakan selepas beliau pulang ke kampung halaman di Cheruk Tok Kun, BUkit Mertajam, Pulau Pinang, baru-baru ini.
Fahmi selaku Jurucakap Kerajaan Perpaduan memberitahu, lawatan Anwar ke kampungnya itu telah memberi pendedahan mengenai masalah setempat yang boleh diselesaikan tanpa berharap kepada bantuan secara formal oleh kerajaan.
“Usaha ini akan mempercepatkan perlaksanaan agenda kerajaan bagi menyelami isu dan masalah rakyat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sementara itu Fahmi berkata, mesyuarat kabinet hari ini juga menyentuh tentang Strategi Antirasuah Nasional 2024-2029 (NACS 2024-2029), yang mana penyelaras tatakelola akan dibuat ke atas semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan.
“Walaupun sekarang berada pada tahap yang baik dan memuaskan ianya akan diteruskan di peringkat agensi, badan berkanun dan syarikat berhad di bawah jaminan (CLBG),” katanya lagi.