Bukan kes ragut, tapi warga asing tiada lesen memandu
MERU – Pihak polis mengesahkan bahawa anggotanya terlibat dalam satu insiden kejar mengejar dengan dua lelaki di Jalan Pasar Malam, di sini semalam.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP S. Vijaya Rao berkata, insiden berkenaan bukannya berkaitan kes ragut tetapi melibatkan warga asing yang menunggang motosikal tanpa lesen memandu.
Kata Vijaya Rao, ketika kejadian, anggotanya yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Meru terserempak dengan sebuah Yamaha Y15 yang dinaiki dua lelaki berada dalam keadaan mencurigakan.
“Kereta peronda kemudiannya menghampiri lelaki berkenaan dan mengarahkan motosikal dihentikan, namun kedua-duanya melarikan diri,” kata Vijaya Rao dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Kedua-dua lelaki tersebut kemudiannya berjaya ditahan setelah berlaku sedikit kejar mengejar.
“Pemeriksaan terhadap kedua-dua lelaki tersebut mendapati mereka bukan warganegara tetapi memiliki dokumen perjalanan yang sah, dan tidak membawa sebarang barang yang menyalahi undang-undang.
“(Bagaimanapun) Tindakan saman Pol 257 dikeluarkan kepada penunggang motosikal tersebut kerana tidak mempunyai lesen memandu,” katanya lagi.
Terdahulu video insiden berkenaan menjadi tular di media sosial dengan kapsyen ‘Anggota polis sedang mengejar suspek kes ragut di Klang’.