BizApp sasar 3,000 pengguna aktif baharu tahun ini
CYBERJAYA – Penyedia platform perdagangan sosial, BizApp menyasarkan 3,000 pengguna aktif baharu menggunakan sistem aplikasi mereka menjelang akhir 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BizApp Ventures Sdn Bhd, Mohd Taib Pardi berkata, sejak dilancarkan pada 2016, aplikasi tersebut kini telah digunakan oleh 700,000 pengguna dengan nilai transaksi kasar (GMV) sebanyak RM3.8 bilion.
“Aplikasi BizApp secara khusus dapat membantu peniaga, terutamanya dalam kalangan Bumiputera di pinggir dan luar bandar menjimatkan masa dan meningkatkan produktiviti dan jualan.
“Ini kerana sistem yang direka tidak memerlukan perhatian peniaga secara manual, yang mana sistem tempahan, pengurusan stok dan juga pembayaran dilaksanakan secara automatik,” kata Mohd. Taib.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis BizAPP Raya dan Cabutan Bertuah, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Teknologi BizApp, Hasnol Mizam; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Commerce Asia, Ganesh Kumar Bangah; Pengarah CommercePay, Kuna Kathigesan; dan Pengarah Kanan Komersil PayNet, Azrul Fahzan Mainor.
Mohd Taib seterusnya menambah, pihaknya turut mengadakan program khidmat nasihat perniagaan setelah menerima maklumbalas daripada pelanggan perkhidmatan mereka.
“Kita dapati ramai pelanggan kita turut memerlukan bantuan dari segi perkembangan perniagaan.
“Jadi kami buat pembaharuan dengan usahasama rakan kami, mengadakan bengkel dan kelas latihan keusahawanan, membangunkan pasukan jualan dan ejen bagi pemasaran,” kata Mohd. Taib lagi.
Berkenaan majlis hari ini, seramai 20 pelanggan BizAPP yang terpilih mengambil bahagian dalam Cabutan Bertuah kempen ‘Go Cuba Bizappay with FPX’ yang berlangsung pada Sept 2023 hingga Februari 2024.
Hadiah utama berupa sebuah kereta Perodua Axia berjaya digondol oleh Pengasas Goreng Pisang Crispy (GPC), Hairul Hafizi Johari.