Hiburan

Denden, Amir bukan anggota tetap Search – Kid & Din

KUALA LUMPUR – Gitaris adik beradik, Din dan Kid yang merupakan tonggak kumpulan rock legenda, Search tampil menjelaskan beberapa isu susulan konsert terbaharu mereka yang bakal berlangsung pada 29 Jun ini.

Pengumuman konsert Search-Gemuruh anjuran Big Stage Entertainment dan RedOne Mobile di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini mencetuskan spekulasi dan gosip dalam kalangan peminat rock tempatan.

Antara yang hangat diperkatakan adalah isu pertukaran dua ‘karakter’ utama iaitu vokalis, Denden Gonjalez kepada Amir Masri dan Yantoi (Amran Marsiman) kepada pemain bass kumpulan Barbarik, Rozaimi.

Noordin Mohd Taib (Din) dan Hamzah Mohd Taib (Kid) dalam sidang media semalam berkata, pertukaran dua anggota terdahulu itu bukan isu yang sepatutnya diperbesarkan.

Keputusan itu katanya dibuat selepas mempertimbangkan banyak perkara termasuk komitmen dan halangan yang dihadapi Denden dan Yantoi menjelang konsert berkenaan.

Kid dan Din (KidDin) juga menafikan keputusan mereka membawa masuk anggota baharu itu berpunca daripada konflik antara mereka dengan Denden.

Sebaliknya KidDin menegaskan bahawa penyanyi dari Indonesia dan juga Yantoi bukanlah anggota tetap Search.

“Saya ingat sejak dahulu lagi saya sudah nyatakan bahawa line up yang ada ini bukanlah kekal.

“Malah pernah wartawan bertanyakan saya dahulu (sewaktu penubuhan Search dengan Denden) kenapa tak ambil penyanyi lokal dan saya pernah jawab bahawa saya mungkin akan mengambil vokalis tempatan tapi masa itu bukan waktu itu,” katanya.

Mengulas mengenai penempatan Amir di posisi vokal, Din berkata, pemilihan itu katanya dibuat selepas menilai kemampuan bekas juara Akademi Fantasia itu selain ‘menunaikan’ hasrat peminat untuk melihat takhta kumpulan legenda itu diisi oleh anak tempatan.

“Kita telah senarai pendek lagu-lagu yang sesuai untuk Amir. Antaranya lagu dari album Fantasi , Gema Dari Timur Jauh, malah ada lagu yang belum pernah dimainkan sebelum ini.

“Konsert Search Gemuruh ini akan memainkan 16 lagu Search selama kira-kira dua jam ,” celah Kid.

Sementara itu, Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi berkata menyifatkan kepercayaan yang diberikan kepada beliau seperti mimpi menjadi kenyataan.

Katanya, sebagai peminat Search,beliau akan berusaha untuk memberikan persembahan terbaik buat peminat.

Ditanya kebarangkalian menjadi ‘bahan’ perbandingan dengan persembahan mantap Search bersama Denden pada konsert Search On Rooftoop di Kompleks Campbell pertengahan 2022 lalu, Amir ada jawapan tersendiri.

Katanya, perbandingan sudah tentu akan berlaku namun beliau sedia menjadikan perkara itu pembakar semangatnya.

“Saya sudah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan dari peminat. Sudah tentu saya ada fikir ke depan.

“Yang saya harapkan, ini akan jadi satu pengalaman yang memang luar biasa. Selama ini pun saya memang menanam hasrat untuk bekerjasama dengan Search,” katanya.

Konsert Search-Gemuruh akan menampilkan Kid dan Din bersama Min (dram) dan Rozaimie serta Amir Masdi sebagai penyanyi.

Peminat juga akan dihiburkan dengan persembahan khas oleh Ritz Metalasia, Muzza, Addy Cradle, Rozario Rasul, Ujang Exist, Fly Halizor dan Jovita Pearl (X Factor Indonesia).

Tiket Search-Gemuruh kini dijual pada harga bermula dari harga RM178 hingga RM6,000.

Show More

Related Articles

Back to top button