Penganjur ‘Freedom Flotilla’ terkilan usaha disekat
Tindakan Guinea-Bissau tarik balik kebenaran guna bendera untuk pelayaran bermotifkan politik - Penganjur
ANKARA – Penganjur ‘Freedom Flotilla’ ke Tebing Gaza menzahirkan rasa terkilan selepas usaha itu disekat di Turkiye, semalam.
Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan lain tersebut memaklumkan, kapal yang digunakan untuk misi itu tidak dapat belayar ke destinasi setelah Guinea-Bissau menarik balik kebenaran berlayar menggunakan bendera negara itu.
“Kami berasa amat kesal dengan keputusan Guinea-Bissau yang jelas menunjukkan ia berpihak kepada kempen jahat Israel untuk mengakibatkan kelaparan secara sengaja dan perang genosid ke atas penduduk Palestin.
“Ia jelas bermotifkan politik dan mungkin disebabkan tekanan oleh rejim Tel Aviv. Pendaftaran Kapal Antarabangsa Guinea-Bissau (GBISR) tanpa rasa bersalah memaklumkan kepada kami tentang penarikan (kebenaran penggunaan bendera pada) kapal tersebut yang telah diisi dengan lebih 5,000 tan muatan penyelamat nyawa,” ujar penganjur dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pihak berkuasa negara Afrika Barat itu turut membuat beberapa permintaan ‘luar biasa’ termasuk maklumat destinasi dan jangkaan masa serta tarikh ketibaan.
“Kebiasaannya, pihak berkenaan hanya mementingkan keselamatan dan piawaian berkaitan kapal yang membawa bendera negara mereka,” jelasnya.
Difahamkan, flotilla tersebut yang disertai tiga buah kapal dan akan membawa kira-kira 1,0000 sukarelawan dan 100 pengamal media daripada pelbagai negara termasuk Malaysia, telah berlabuh selama seminggu di pelabuhan Tuzla, selatan Istanbul selepas ia merancang untuk memulakan misi tersebut, Jumaat lepas.
Sebuah lagi kapal yang terlibat dalam misi ini akan berlepas dari Itali
Pada 2010, misi sama pernah dilancarkan dari bandar Antalya, namun serbuan ganas rejim zionis ke atas kapal Mavi Marmara hingga meragut 10 nyawa aktivis telah mengeruhkan hubungan antara Ankara dan Tel Aviv.