Berita Semasa

KESUMA anjur Karnival Kermahiran dan Kerjaya Hijau, tawar lebih 3,000 peluang pekerjaaan

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menganjurkan Karnival Kermahiran dan Kerjaya Hijau KESUMA yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 27 April di Avenue K Mall, di sini.

Menterinya, Steven Sim berkata, karnival anjuran TalentCorp dan PERKESO itu menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan khusus bagi industri hijau.

Katanya, ekonomi hijau dapat dilihat sebagai paradigma ekonomi yang memacu pertumbuhan, pendapatan dan pekerjaan, tanpa mengorbankan sumber ekosistem dan biodiversiti semulajadi.

Justeru itu katanya, satu usaha perlu diadakan untuk membangunkan tenaga kerja sedia industri untuk memenuhi keperluan pelaburan Ekonomi Hijau.
 
“Karnival Kemahiran dan Kerjaya Hijau merupakan satu usaha KESUMA dengan kerjasama industri dan akademia yang julung kali diadakan untuk memperkukuh pembangunan kemahiran dan peluang pekerjaan hijau selaras dengan keperluan ekonomi dan kemampanan alam sekitar di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Karnival Kermahiran dan Kerjaya Hijau KESUMA, di sini hari ini.

Orang ramai dijemput untuk menghadiri Karnival Kerjaya Hijau yang telah membuka tirainya hari ini dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

Selain itu, para pengujung akan berpeluang untuk menyertai dalam 12 program bual bicara (pocket talk) yang akan membincangkan pelbagai topik.

Karnival ini juga akan menampilkan para penceramah daripada pelbagai organisasi seperti Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia, EY Malaysia, LinkedIn Malaysia, HRD Corp, Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Malaysian PayGap, serta pelbagai lagi.

Tambah Steven Sim, penganjuran karnival itu juga mampu membina tenaga kerja yang cekap dilengkapi dengan kemahiran hijau yang dicapai melalui pengenalan, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula individu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam ekonomi hijau.

Terdahulu, Rangka kerja strategik seperti Pelan Hala Tuju Teknologi Hijau Malaysia 2017-2030 (GMTP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), menjangkakan penarikan pelaburan sehingga RM1.3 trilion.

Ia juga dijangka akan menyumbang kepada peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM220 bilion, dan mencipta lebih 300,000 peluang pekerjaan menjelang 2050.

Sebagai tambahan, PERKESO turut akan mengadakan Karnival Kerjaya MYFutureJobs KESUMA Madani bersempena Hari Pekerja 2024 bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 30 April dan 1 Mei ini.

Karnival berkenaan akan menawarkan lebih 10,000 jawatan kosong dan akan turut diadakan di beberapa Negeri termasuklah Kelantan pada 4-5 Mei, Johor pada 5 Mei serta Sarawak pada 18 – 19 Mei 2024.
 

Show More

Related Articles

Back to top button