Jangan anak tirikan portfolio sukan – Hannah Yeoh kepada Menteri Besar
PUTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menasihatkan Menteri Besar semua negeri agar tidak menganaktirikan portfolio pembangunan sukan di negeri masing-masing dengan memberikan peruntukan yang sewajarnya.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, komitmen daripada kerajaan negeri untuk melabur dalam pembangunan sukan amat penting bagi memastikan negara mempunyai atlet pelapis yang mencukupi.
“Pembangunan sukan melibatkan komitmen kerajaan negeri. Kalau kita lihat dalam Sukma (Sukan Malaysia), kalau negeri tidak melabur dan membuat penyertaan atlet. Acara akan dibuang dalam Sukma. Saya minta semua menteri besar negeri-negeri lihat bagi portfolio sukan.
“Kalau negeri itu tak melabur, kita akan kekurangan atlet, tak cukup penyertaan. Itu sebab untuk satu-satu sukan berjaya, bukan hanya sahaja MSN bila mereka dah masuk atlet podium dan elit tetapi peringkat akar umbi peringkat negeri sangat penting.
“Sebab itu semua menteri besar dalam rancangan untuk bajet, jangan kita anak tirikan.
“Kalau ada negeri-negeri kecil bajet tak sampai RM500,000 ribu, bagaimana nak buat pembangunan atlet dan sukan jika tak melabur untuk industri sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan di Menara KBS, Putrajaya hari ini.
Hannah berkata demikian bagi mengulas acara futsal wanita dan terjun 10 meter (m) platform wanita digugurkan daripada Sukma ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak pada Ogos ini.