Politik

7 wakil rakyat BERSATU perlu kosongkan kerusi

Keahlian gugur secara automatik kerana berpaling tadah

CYBERJAYA – Keahlian enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti BERSATU yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah tergugur secara automatik dan mereka perlu mengosongkan kerusi kawasan masing-masing.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, pengguguran itu berikutan kelulusan pindaan Perlembagaan parti, yang dibuat pada Perhimpunan Agung Khas (EGM) parti pada 2 Mac lalu, sudah disahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

“Parti hanya akan menghantar surat pemakluman berserta notis kelulusan pindaan Perlembagaan parti seperti diluluskan ROS.

“Enam Ahli Parlimen dan ADUN digesa tidak menunggu surat daripada BERSATU, sebaliknya jika anak jantan (gentleman), lepaskan jawatan dan umum kosongkan kerusi,” katanya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi itu berkata demikian bagi mengulas enam Ahli Parlimen terbabit yang mengesahkan belum menerima sebarang notis daripada parti selepas mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilaporkan sebagai berkata, beliau masih belum menerima apa-apa notis daripada partinya.

Selain beliau, lima lagi Ahli Parlimen yang menyokong Anwar ialah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut mengumumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, bulan lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button