Pemandu langgar warga Pakistan mengaku ambil dadah
TELUK INTAN – Pemandu yang melanggar mati tiga lelaki warga Pakistan dalam perjalanan menunaikan solat sunat Aidilfitri, Rabu lalu mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret Teluk Intan, hari ini.
Tertuduh, Mohd Azizol Abdul Rasheed, 36, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret T Ashvinii, lapor Harian Metro.
Berdasarkan pertuduhan, pembantu kedai makan itu didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis tetrahydro-cannabinol (THC) ke dalam diri sendiri dengan cara menyalahi undang-undang di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, jam 7.45 malam, Rabu lalu.
Oleh itu, lelaki terbabit dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 2003) dan dibaca bersama Seksyen 38b (1) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.