Penjual lemang cedera, SUV rempuh gerai
HULU SELANGOR – Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh kereta dan khemah tiga sekeluarga yang menjual lemang di seberang jalan hadapan sebuah stesen minyak di Kalumpang, di sini, malam tadi.
Susulan kejadian itu, isteri penjual lemang, 40, luka di dagu dan bengkak di betis manakala anak lelakinya, 3, tidak cedera.
Sementara itu, suami mangsa difahamkan sedang menjalankan urusan jual beli manakala kedua-dua mangsa berada dalam kereta Perodua Kelisa ketika itu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, siasatan awal mendapati pemandu SUV Proton X70 dalam perjalanan dari Kalumpang ke Kuala Kubu Bharu.
“Sebaik tiba di lokasi, SUV itu disyaki terbabas ke kiri jalan dan melanggar Perodua Kelisa yang diletakkan berhampiran gerai serta tiang kanopi.
“Lelaki berusia 58 tahun itu bagaimanapun, tidak mengalami kecederaan,” katanya memetik laporan BH Online.
Sehubungan itu, hasil semakan mendapati bahawa pemandu SUV itu tidak mempunyai rekod lampau.
Kata Ahmad Faizal lagi, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.