Ribut petir, hujan lebat dijangka landa Kelantan, Terengganu, Pahang
KUALA LUMPUR – Ribut petir, hujan lebat serta angin kencang diramal melanda beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor sehingga pukul 2 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu hantaran di laman Facebook memaklumkan, keadaan cuaca itu dijangka melanda daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh di Kelantan.
Di Terengganu pula, ribut petir dan hujan lebat diramalkan melanda Marang, Dungun dan Kemaman, manakala Pahang membabitkan kawasan Kuantan, Pekan serta Rompin.
“Di Johor, dua kawasan membabitkan Mersing dan Kota Tinggi dijangka mengalami keadaan cuaca itu,” katanya.
Menurut METMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) bagi setiap jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.