Malaysia luah hasrat teruskan perbincangan FTA dengan Kesatuan Eropah
VIENTIANE – Malaysia berhasrat untuk meneruskan perbincangan berhubung perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU).
Hasrat tersebut disuarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mengetuai delegasi Malaysia dalam pertemuan bersama Presiden Majlis Eropah, Charles Michel.
Perdana Menteri berkata, Pertemuan itu telah beliau gunakan bagi memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia EU, selain turut bertukar pandangan terkait perkembangan geopolitik serantau dan antarabangsa.
“Kami antara lain sepakat untuk berusaha mempertingkatkan kerjasama strategik ASEAN-EU, khususnya sewaktu Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun depan,” kata Anwar dalam satu kenyataan di Facebook milik beliau hari ini.
Pertemuan dua hala itu diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-Sidang Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di sini, pada Khamis
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyatakan beberapa pandangan berhubung Peraturan Bebas Penebangan Hutan EU (EUDR) yang memberi kesan langsung kepada industri sawit negara.
Pada September lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memaklumkan Malaysia secara rasmi bersedia menyambung semula rundingan FTA dengan EU untuk dimuktamadkan.
Katanya, kerajaan akan memastikan rundingan berkenaan akan mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.
Rundingan tentang FTA dimulakan pada Oktober 2010, membabitkan lapan pusingan rundingan sehingga September 2012, namun ditangguhkan berikutan keraguan Malaysia dalam beberapa aspek, seperti minyak sawit, dasar perolehan, subsidi dan klausa kemampanan EU.