Berita Semasa

Mufti Perlis nasihat Fadhlina perbetulkan isu penggunaan istilah kafir

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menasihatkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya memperbetulkan penggunaan istilah kafir susulan daripada isu kafir baru-baru ini.

Beliau berkata, isu tersebut wajar diperbetulkan kerana membawa maksud yang sangat salah.

“Dalam negara Malaysia, sudah menjadi cara hidup orang Islam dalam bergaulan dengan bukan muslim sejak dahulu, tidak memanggil ‘hai kafir’. Majlis-majlis rasmi, tidak rasmi, dakwah dan apa sahaja memanggil mereka yang tidak menganut Islam sebagai ‘bukan muslim/Islam’, ‘penganut agama lain’, atau ‘bukan Melayu’.

“Jika ada yang memanggil secara berhadapan ‘hai kafir!’ itu tersasar dari yang asal dan sangat sukar berlaku melainkan dalam konteks pergaduhan atau hilang pertimbangan. Tiada siapa pun dalam negara ini menyuruh memanggil mereka yang berlainan agama ‘hai kafir’ ketika bergaul dan berdialog. Tidak perlu sesiapa pun menimbulkan isu dalam perkara ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

Baru-baru ini tular satu video yang memaparkan Fadhlina menolak penggunaan label kafir dan mengharamkan anak-anak beliau menggunakan perkataan tersebut di rumah.

Dalam pada itu, Mohd Asri berkata, jika seseorang yang tiada pendidikan, mungkin boleh diagak keceluparan itu namun, seseorang yang berstatus ‘menteri’ amat menggusarkan apatah lagi di masa dia memegang pendidikan negara.

“Kenapa hal ini hendak dihalusi? Jawapannya, kerana kedudukannya dalam polisi pendidikan negara kita. Kebingungan kita kadang-kala untuk memahami beberapa isu seperti mengapa ada hal-hal yang membabitkan Umat Islam kelihatan bermasalah,” tegur beliau.

Mengulas lanjut, Asri menegaskan bahawa sikap sesetengah pihak yang melampau dalam beberapa isu seperti suka mengkafirkan, tidak menjadi lesen untuk diharamkan perkataan itu yang disebut dalam al-Quran dan al-Sunah

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa negara ini memerlukan mereka yang berkelayakan menguruskan pendidikan negara bagi anak-anak muslim dan bukan muslim, yang mana bukan sahaja sensitiviti orang bukan Islam diambil kira, malah juga sensitiviti muslim.

“Kepada para pembela beliau, isu ini bukan kritikan kepada kerajaan tetapi kepada kesilapan individu dalam kerajaan. Jika kerajaan mempertahankan, maka barulah dinilaikan sebagai kesilapan kerajaan,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button