Jenayah & Mahkamah

2 kapal pindah minyak secara haram ditahan

KUALA LINGGI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya menahan dua kapal yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Kuala Linggi, Melaka petang semalam.

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Murni, Op Tiris, Op Khas Pagar Laut telah diatur gerak ke tempat kejadian selepas pusat operasi menerima maklumat terdapat aktiviti mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati kapal tangki sedang memindahkan kargo minyak disyaki minyak mentah kepada sebuah kapal tangki yang lain tanpa mempunyai sebarang dokumen kebenaran menjalankan aktiviti terbabit.

“Kapal tangki pertama sepanjang 60 meter berdaftar di Panama itu dikendalikan oleh 26 kru termasuk nakhoda termasuk 16 warga China, empat warga Sri Lanka dan enam warga Myanmar.

“Manakala kapal tangki kedua pula dengan panjang 43 meter didaftarkan di Palau dikendalikan oleh 22 kru termasuk nakhoda, 19 warga Rusia, serta tiga lagi masing- masing dari Georgia, Latvia dan Indonesia,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Menurutnya lagi, kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1) (K) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 kerana menjalankan aktiviti Ship to Ship (STS) tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan juga 491B (1) (L) OPS 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran.

Sementara itu, sebarang maklumat berkenaan salah laku di perairan negara, orang ramai boleh berhubung dengan Pusat Operasi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau melalui MERS 999 untuk maklum balas segera.

Show More

Related Articles

Back to top button