Berita Semasa

Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia beroperasi setelah pindaan RUU berkaitan diluluskan

RUU Pindaan Akta-Akta Berbangkit akan dibentang Jun depan

KUALA LUMPUR – Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) akan mula beroperasi sepenuhnya setelah pindaan kepada Rang Undang-Udang (RUU) Pindaan Akta-Akta Berbangkit diluluskan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ketika ini pengurusan MCBA sedang giat menyelaraskan perbincangan dan sesi libat urus bagi tujuan penggubalan RUU berkenaan di Dewan Rakyat, pada Jun ini.

“RUU Pindaan Akta-Akta Berbangkit ini membabitkan 31 akta berkaitan.

“Selain itu, penyelarasan dan libat urus bersama agensi sedia ada dan pihak berkepentingan lain juga sedang giat dilaksanakan bagi memastikan koordinasi yang baik dan harmoni di pintu masuk.

“Penyelarasan ini akan merangkumi perancangan operasi secara berfasa, pembangunan prosedur operasi standard bersepadu di lapangan serta mekanisme penyelarasan dasar antara pelbagai kementerian dan jabatan berbeza,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Shamsul Anuar berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai status terkini projek rintis pelaksanaan agensi tunggal sempadan negara (SBA) bagi mengawal selia 141 pintu masuk negara.

Mengenai pengisian perjawatan MCBA, Shamsul Anuar berkata, permohonan perjawatan sudah diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 29 Disember 2023, diikuti Waran Perjawatan MCBA Bil. K3 Tahun 2024 oleh Perbendaharaan berkuat kuasa mulai 5 Januari lalu.

Katanya, MCBA adalah agensi kerajaan yang bertindak sebagai barisan hadapan di pintu masuk negara termasuk pelabuhan dengan penubuhannya dipersetujui Jemaah Menteri pada 18 Oktober lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button