Inisiatif KDB tercalon finalis Anugerah World Summit of Information Society 2023
CYBERJAYA – Inisiatif Klik Dengan Bijak (KDB) dilihat telah mencapai objektifnya selepas dicalonkan sebagai finalis untuk Anugerah World Summit of Information Society 2023 (WSIS_2023) di Geneva pada 17 hingga 23 Mac ini.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Mohd Fahmi Fadzil, sehingga 2023, inisiatif KDB telah mencapai lebih tujuh juta capaian melalui pelbagai program dan aktiviti yang telah dijalankan.
Katanya, dari segi keberkesanan pelaksanaan KDB ianya dapat dilihat melalui kajian impak keberkesanan KDB kepada peserta KDB yang telah dilaksanakan oleh penyelidik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2022.
“Hasil kajian menunjukkan Program KDB secara dasarnya berjaya memberi kesedaran mengenai keselamatan siber di kalangan responden kajian dan menunjukkan perubahan positif terhadap pengetahuan pengguna Internet tentang pengurusan risiko dalam talian.
“Namun begitu, perspektif sikap dan tingkah laku tidak menunjukkan perubahan yang signifikan,” katanya dalam ucapan beliau semasa Majlis Sambutan KDB yang ke-10 di Auditorium Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Cyberjaya, hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Ni Ching bersama Pengerusi Interim MCMC, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain serta ketua-ketua pegawai MCMC.
Mengulas lanjut, kata Fahmi, bermula pada tahun 2020, KDB juga telah diperkenalkan dengan MyCybergenius yang merupakan kaedah penilaian advokasi dan pengumpulan data maklumat tahap pemahaman peserta terhadap modul-modul KDB.
“Untuk tahun 2020, purata tahap pemahaman peserta KDB adalah pada kadar 81.17 peratus. Peratusan ini telah meningkat kepada 82.72 peratus pada 2021 dan 83.99 peratus pada tahun 2022,” ujarnya lagi.
Untuk rekod, KDB adalah sebuah inisiatif yang dilancarkan pada tahun 2012 oleh MCMC bagi meningkatkan kesedaran pengguna Internet tentang keselamatan dalam talian dengan menitikberatkan kawalan kendiri berdasarkan prinsip Rukun Negara.