Berita Semasa

50,000 pekerja pengangkutan terima tajaan PERKESO melalui SKSPS.

PUTRAJAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mensasarkan 50,000 pemandu teksi, bas sekolah dan kereta sewa menerima manfaat daripada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang dilancarkan hari ini.

Inisiatif hasil kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu melibatkan tajaan kepada 35,000 pemandu teksi, pemandu kereta sewa dan 15,000 pemandu bas sekolah yang bekerja sendiri.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, melalui kerjasama itu sebanyak 90 peratus caruman untuk setahun akan ditanggung PERKESO manakala bakinya dibiayai oleh MOT.

Katanya, penjaaan 10 peratus caruman itu ditanggung kementeriannya melalui hasil penjualan nombor pendaftaran ‘GOLD’ yang dianggarkan berjumlah RM1.165 juta.

“Apa yang penting dengan ada caruman ini, selain pemandu, perlindungannya juga adalah kepada keluarga mereka kerana apa sahaja yang berlaku, yang menjadi mangsa termasuk mungkin hilang punca pendapatan, adalah keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Inisiatif Caruman Percuma Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini.

Skim SKSPS memberi perlindungan kepada individu yang layak mencarum termasuk dalam 20 sektor yang bekerja sendiri secara informal akan melindungi mereka dari bencana pekerjaan termasuk penyakit dari pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, individu yang bekerja di sektor informal hanya perlu membayar baki sebanyak 10 peratus atau RM23.30 bagi perlindungan selama dua belas bulan dengan faedah termasuk tanggungannya serta penyediaan rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional.

Katanya, meskipun terdapat 2.98 juta rakyat Malaysia bekerja sendiri, namun hanya 14.56 peratus atau 433,881 pencarum aktif bagi individu bekerja sendiri yang direkodkan oleh PERKESO.
“Sebanyak 11,139 kes tuntutan faedah oleh pencarum bawah SKSPS direkodkan bagi tempoh 2022 hingga 3 Mac 2024 dengan keseluruhan bayaran faedah PERKESO mencecah RM51.8 juta bagi tempoh yang sama,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai PERKESO, layari www.perkeso.gov.my atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan 1300 22 8000.

Show More

Related Articles

Back to top button