Berita Semasa

Tiada langsung pembangkang sokong usaha banteras rasuah -PM

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan membasmi rasuah dan salah guna kuasa di semua peringkat tidak begitu disenangi pihak pembangkang malah penggunaan perkataan ‘penyakau’ menjadi istilah yang sangat ditakuti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehingga kini tidak ada seorang pun daripada pemimpin pembangkang yang menyuarakan sokongan terhadap usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat golongan yang dikaitkan dengan rasuah.

“Kita tengok dalam Parlimen dua tiga hari ini, seolah-olah ada yang menggelupur, marah dan benci. Tapi tidak ada satu suara yang menyokong langkah membenteras rasuah.

“Bagi saya aneh, saya semasa pembangkang, bila ada cadangan pemerintah ketika itu mengusulkan penubuhan SPRM, saya dokong sebab usaha yang baik.

“Malah kalau saya tengok dalam media sosial, istilah penyakau itu paling ditakuti, dimarah dan digeruni oleh sesetengah puak, hairan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki; dan Pengerusi HRD Corp; Datuk Shahul Dawood.

Bahkan Anwar berkata, usaha membawa mereka yang disyaki terlibat dalam rasuah dituduh sebagai tindakan balas dendam olehnya.

“Saya nak tanya saudara kalau hari ini saya kumpul RM10 bilion, masuk poket saya dan saya gunakan untuk kayakan diri keluarga dan harta seluruh dunia.

“Kemudian tujuh tahun kemudian selepas bersara atau lebih awal (ada yang berkata) tidak boleh disentuh kerana kalau disentuh, haa.. ini dendam. Sudahlah…dia pun dah tua.

“Inilah penyakit yang akan menjalar akan melemah longlaikan semangat bangsa,” katanya.

Sebaliknya PErdana Menteri berkata, kerajaan perlu memberikan mesej yang jelas bahawa tiada yang dapat melepaskan diri daripada jenayah ini.

Beliau juga menegaskan bahawa mana-mana anggota Kabinet di bawah pimpinannya yang didapati terlibat dengan salah laku rasuah, wajib digugurkan daripada jawatan mereka.

Tindakan itu bagi menyelamatkan negara daripada gejala rasuah, dan beliau juga telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadap jemaah Menteri yang didapati terlibat dengan salah laku itu,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button