Berita Semasa

SPRM akan siasat semua individu tersenarai dalam Kertas Pandora

KUALA LUMPUR – Kesemua individu yang tersenarai dalam Kertas Pandora sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan tidak bersikap pilih kasih dalam menyiasat individu yang dikaitkan dalam Kertas Pandora.

Beliau juga mendedahkan sebahagian daripada siasatan dijalankan tanpa pengetahuan umum.

“Untuk makluman Yang Berhormat, SPRM bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan dan bebas menjalankan siasatan tanpa sebarang campur tangan atau pengaruh daripada pihak luar.

“Dalam isu ini, kualiti maklumat dan dokumen yang diperolehi diutamakan untuk penyiasatan bagi tindakan pembuktian kes,” katanya dalam jawapan bertulis sidang Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang ingin tahu mengapa 12 individu yang disebut dalam Kertas Pandora termasuk beberapa pemimpin dalam Kabinet Kerajaan Madani tidak disiasat, sebaliknya hanya memberi fokus kepada tokoh yang dilihat mesra kepada pembangkang.

Azalina menambah, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan tersebut berdasarkan subseksyen 29(4) Akta SPRM (Akta 694).

Katanya, akta berkenaan menyatakan bahawa mana-mana siasatan tersebut hendaklah dirahsiakan dan tidak boleh didedahkan oleh mana-mana orang sehinggalah orang tertuduh dipertuduh di mahkamah.

Show More

Related Articles

Back to top button