Berita SemasaBisnes & Ekonomi

Kerajaan sedia pertimbang hasil dapatan daripada ICIEF – Zambry

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir menyempurnakan majlis penutup Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan Islam (ICIEF) buat kali yang ke-15 yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 20 Februari lalu bertempat di Sasana Kijang di sini.

ICIEF ini dianjurkan oleh Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan (KENMS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan usahasama Kementerian Kewangan Malaysia dan Persatuan Antarabangsa Ekonomi Islam (IAIE).

Persidangan yang berlangsung tiga hari ini dihadiri oleh ahli akademik, profesional dan pakar ekonomi dan kewangan Islam daripada dalam dan luar negara. Persidangan ICIEF ini juga mendapat kerjasama strategik dari Bank Negara Malaysia (BNM), Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT), Persatuan Penasihat Syariah dalam Kewangan Islam Malaysia (ASAS), Ikatan Ahli Ekonomi Islam Indonesia (IAEI), serta penajaan dari Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Islamic Development Bank (ISDB), Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB), FWD Takaful Berhad, Etiqa Takaful Berhad, dan Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Zambry berkata, kerajaan sedia menimbang cadangan tentang dasar ekonomi hasil dapatan persidangan ini akan tetapi ianya akan diperhalusi dan yang akan menentukan sama ada ianya akan dibawa sebagai kertas putih adalah keputusan kerajaan sepenuhnya.

“Kita juga mahukan hasil dapatan persidangan ini dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan dan juga pihak swasta dalam memastikan kelestarian ekonomi manusiawi dan bukan berakhir hanya di persidangan sahaja” tambahnya lagi.

Persidangan ICIEF ke-15 ini mengangkat tema “Driving the Agenda for a Sustainable Humane Economy”. Persidangan ICIEF dianjurkan pada tahun ini juga bersempena dengan Ulang Tahun UIAM yang ke-40 bertepatan dengan salah satu nilai teras Malaysia MADANI iaitu untuk mewujudkan kesejahteraan ekonomi, sosial, dan kemampanan alam melalui budaya ilmu dan kepelbagaian pandangan.

Dengan mengambil kira keadaan semasa ekonomi dan kewangan global selepas pulih dari pandemik COVID-19 dan cabaran dari perubahan iklim, objektif persidangan ICIEF kali ini memberi fokus terhadap strategi dan langkah ke hadapan untuk membangunkan ekonomi dan kewangan yang lebih bersepadu, mampan, dan manusiawi.
Oleh itu, persidangan ini ditumpukan kepada bukan sahaja pembangunan teori dan aspek amalannya, tetapi juga isu-isu berkaitan dasar ekonomi dan kewangan Islam, kemampanan mutu hidup, serta daya cipta dalam sistem Shariah, perakaunan, tadbir urus, pengurusan dan pemasaran.

Melalui aktiviti akademik seperti pengajaran dan penyelidikan, persidangan ICIEF ke-15 ini telah menyumbang kepada kemajuan bidang ekonomi dan kewangan Islam. Penubuhan institusi pengajian tinggi seperti UIAM dan institusi kewangan tempatan dan global seperti Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) serta Islamic Development Bank (ISDB) telah menyediakan platform untuk perpaduan antara ilmu dan amalan profesional.

Kali pertama penganjuran persidangan ICIEF di Makkah al-Mukarramah pada tahun 1976, merupakan pencetus kepada disiplin ilmu baharu ‘Ekonomi Islam’. Selepas hampir lima dekad kemudian, penerokaan ilmu ekonomi Islam telah berjaya menyusun semula prinsip kewangan dan transaksi dalam pasaran moden. Ciri-ciri ekonomi Islam juga telah mengubah tingkah laku masyarakat di dalam urusan perdagangan dan pertukaran komoditi era ini.

Persidangan ini menghimpunkan 500 peserta dari dalam dan luar negara seperti Pakistan, United Kingdom, Arab Saudi, Morocco, Turkiye, Indonesia, Amerika Syarikat, Nigeria, Norway, Germany, dan India.

Justeru itu, persidangan ICIEF akan terus relevan untuk para sarjana, pengamal industri, dan pembuat dasar membentangkan idea dan berkongsi pandangan untuk kemajuan ekonomi Malaysia khususnya dan negara Islam dan bukan Islam umumnya. Lebih 60 pembentangan kertas kerja secara bersemuka dan poster, empat sesi plenari dan ucaptama, serta dua simposium pendidikan ekonomi dan kewangan Islam dijalankan sepanjang tiga hari.

Manakala lebih 30 ilmuwan dari institusi pengajian dan penyelidikan, serta pengamal dari industri swasta dan bukan kerajaan terlibat dalam sesi plenari ICIEF ke-15 antaranya termasuk dari UIAM, International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) Universiti, IPB University, Istanbul Sabahattin Zaim University dan banyak lagi institusi pendidikan dan industri dalam bidang kewangan serta perbankan Islam.

Turut hadir pada persidangan ini ialah Rektor IIUM, Professor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; Pengerusi ICIEF 2024, Prof. Dr. Gairuzazmi Mat Ghani; Presiden Persatuan Antarabangsa Ekonomi Islam (IAIE), Professor Emeritus Dato’ Dr Mohd Azmi Omar selaku penganjur bersama persidangan ICIEF ke-15 yang juga merupakan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCEIF Universiti, para pembentang kertas kerja serta para peserta persidangan.

Show More

Related Articles

Back to top button