Covid-19: 11 daripada 18 kluster baharu merupakan kluster pendidikan
CYBERJAYA – Sektor pendidikan disaran supaya melakukan saringan ke atas pelajar, guru dan kakitangan susulan 11 daripada 18 kluster Covid-19 yang dikesan pada Minggu Epidemiologi ketujuh 2023 (ME 13/2023) dari 26 Mac hingga 1 April, adalah kluster pendidikan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata, daripada jumlah itu, enam kluster adalah melibatkan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu tiga kolej dan masing-masing satu di sekolah agama menengah, sekolah berasrama penuh dan sekolah menengah.
Sementara itu, lima kluster lagi adalah kluster pendidikan lain iaitu empat di maktab dan satu membabitkan taman asuhan kanak-kanak (Taska).
“Peningkatan kes dan kluster Covid-19 pada ketika ini berlaku berikutan pembukaan semula sesi persekolahan pada pertengahan Mac 2023. Peningkatan kes ini juga disebabkan oleh pergerakan masyarakat yang banyak sewaktu musim cuti sekolah lepas,” katanya.
Berikutan itu, sektor pendidikan disaran supaya menjalankan saringan bergejala terhadap pelajar, guru dan kakitangan sebelum masuk ke kawasan sekolah atau institusi serta menjalankan ujian RTK-Ag ke atas murid, guru, dan kakitangan mengikut strategi pengujian Covid-19.
Selain itu, ibu bapa juga perlu memantau status kesihatan anak dan bertanggungjawab untuk tidak menghantar mereka ke sekolah sekiranya bergejala serta menjalankan penilaian risiko penularan jangkitan Covid-19 di institusi masing-masing dari semasa ke semasa agar tindakan pencegahan segera diambil.
Pada masa yang sama, Dr Noor Hisham turut mengingatkan pegawai kesihatan daerah supaya kes positif yang dilaporkan pihak sekolah atau institusi pendidikan perlu disiasat dan dijalankan penilaian risiko untuk menilai status penularan jangkitan selain tindakan pembersihan dan disinfeksi serta pengesanan kontak perlu dijalankan.
Orang ramai turut disaran untuk terus mengamalkan TRIIS [Test (Uji), Report (Lapor), Isolate (Asing), Inform (Maklum), and, Seek (Dapatkan rawatan)] bagi mengawal penularan Covid-19.
Mengenai perkembangan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, jumlah kemasukan pesakit ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk meningkat 24.1 peratus pada ME 13/2023 berbanding ME 12/2023 dengan kumulatif kes baharu sebanyak 5,052,337 kes manakala 5,004,546 bagi kes sembuh.