Kerajaan beri tumpuan kepada budaya dan penguasaan bahasa sambil perkukuh ekonomi negara – PM
KUALA LUMPUR – Selain memberi fokus terhadap ekonomi negara pada tahun ini, kerajaan juga akan memberi penekanan dalam memastikan keselamatan Malaysia, budaya yang kaya, dan penguasaan bahasa di kalangan orang ramai, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga fokus utama iaitu keamanan, budaya dan penguasaan bahasa adalah ramuan utama dalam memastikan negara sentiasa menjadi pilihan pertama pelaburan oleh pelabur tempatan dan luar negara.
“Di Kabinet juga, kita memastikan fokus adalah untuk menjadikan Malaysia negara yang hebat, aman serta kaya dengan pelbagai budaya.
“Ini adalah kekuatan Malaysia. Oleh itu, peliharalah negara ini. Jayakan negara dan tingkatkan kemajuan supaya kita boleh menjadi antara yang terhebat di rantau kita,” ulasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), Kampung Attap, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chan Lih Kang, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyeru semua lapisan masyarakat untuk meraikan kepelbagaian budaya dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum di negara ini.
“Walaupun sambutan hari ini adalah untuk masyarakat Cina, di Malaysia, orang Melayu dan India juga akan menyambut musim perayaan budaya lain,” katanya lagi.