Anwar tolak dakwaan Kerajaan Perpaduan tidak tegas dalam permasalahan rasuah
PUTRAJAYA – Dakwaan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak tegas terhadap permasalahan rasuah susulan keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, adalah tidak benar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menafikan dakwaan itu berkata, hak memohon pengampunan adalah milik Najib.
“Isu yang dibangkitkan konon kita longgar terhadap permasalah rasuah, itu tidak benar.
“Ada hak dia (Najib) atau parti, supaya Perdana Menteri dan Lembaga Pengampunan beri pertimbangan,” kata Anwar pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Kata Anwar, proses badan kehakiman itu diteruskan dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah memberi kata dua kepada beliau berhubung keputusan terhadap Najib itu.
Anwar kemudiannya menambah, banyak perkara yang perlu diutamakan Kerajaan Perpaduan antaranya berhubung soal ekonomi dan penyelarasan gaji penjawat awam.