Sukan

Malaysia cipta sensasi, mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 5 sebelah

MUSCAT – Skuad Hoki 5 sebelah Lelaki Malaysia mencipta sensasi tersendiri selepas melakar sejarah melangkah ke pentas akhir edisi pertama Kejohanan FIH Hoki 5s Piala Dunia 2024, Muscat, Oman menerusi kejayaan menewaskan Poland 4-3 pada aksi separuh akhir yang berlangsung hari ini.

Empat gol yang membawa Malaysia ke pentas final hasil dua jaringan daripada Kapten Pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook, satu gol menerusi Muhammad Arif Syafie Ishak serta Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin dan menanti Malaysia di pentas akhir adalah Belanda.

Ketua Jurulatih Skuad Hoki 5s Lelaki Kebangsaan, Wallace Tan memuji anak-anak buahnya yang bermain bermati-matian pada aksi separuh akhir demi ingin memastikan Malaysia melangkah ke pentas final.

“Perlawanan hari ini, pemain telah memberikan segalanya dan berjuang hingga ke saat akhir dan walaupun Poland meraih kelebihan challenge pada penghujung permainan, tetapi kami berjaya menyelamatkannya dan keluar sebagai pemenang.

“Apa yang telah ditampilkan oleh pemain-pemain hari ini adalah satu semangat juang yang cukup tinggi.

“Pentas akhir bertemu Belanda, mereka merupakan satu pasukan yang cukup kuat dan telah menewaskan semua lawan yang mereka temui termasuk India dan Pakistan.

“Namun untuk Malaysia, kami akan tetap berjuang dan turun bermati-matian mencari kemenangan pada aksi akhir esok,” katanya dalam laman web MHC hari ini.

Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung, Poland dilihat terus-terusan melancarkan serangan awal ke kawasan gol Malaysia dan lima minit pertama permainan penjaga gol Malaysia, Che Shahrul Azmi Che Saupi, terus-terusan diuji dengan deretan percubaan daripada Poland termasuk kelebihan challenge yang dimiliki lawan.

Bagaimanapun keampuhan pertahanan dan tindakan cemerlang Che Shahrul Azmi berjaya mematahkan usaha Poland untul cuba meraih gol awal.

Menerusi serangan balas yang diatur pemain negara, Malaysia pada minit ketujuh akhirnya berjaya mencetak gol pertama selepas dihadiahkan dengan penalti stroke. Muhammad Arif Syafie Ishak menyempurnakan kelebihan tersebut menerusi satu tolakan deras ke arah bawah sebelah kanan pintu gol lawan untuk Malaysia mendahului 1-0.

Poland dilihat cuba bangkit mengikat kembali kedudukan dan pada minit kesembilan menerusi gerakan padang yang dimulakan Mateusz Nowakowski, dan pemain Damian Jarzembowski, menjaringkan gol penyudahan untuk kedudukan separuh masa pertama tamat 1-1.

Bersambung separuh masa kedua gerakan serangan terus diatur oleh kedua-dua pasukan dan minit ke-19, Malaysia berjaya menambah gol kedua menerusi Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin untuk memimpin perlawanan.

Minit ke-22 saat barisan pemain kebangsaan giat mengatur serangan, Malaysia yang memiliki pukulan percuma menggunakan kelebihan berada di dalam kawasan gol lawan untuk meledak gol ketiga menerusi kapten pasukan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan berselang 2 minit kemudian, Mohamad Akhimullah sekali lagi berjaya menewaskan penjaga gol Poland untuk Malaysia terus selesa dihadapan 4-1.

Poland yang dilihat semakin tertekan terus menggandakan asakan untuk merapatkan kedudukan. Pada minit ke-27 gol kedua Poland berjaya dihasilkan menerusi Wojciech Rutkowski sebelum Jakub Holosyniuk menjaringkan gol ketiga pada minit ke-30.

Beberapa saat sebelum aksi sebenar tamat, Poland dihadiahkan dengan challenge namun kelebihan tersebut gagal mengubah kemenangan 4-3 Malaysia untuk sekaligus melangkah ke final.

Malaysia akan membuat perhitungan terakhir, bertemu Belanda di pentas final pada awal pagi Khamis (1 Feb 24) jam 12:20 tengah malam, waktu Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button