Hiburan

Kreator dalam kelas tersendiri

KUALA LUMPUR – ‘Flag of Hate’ berkibar di pentas Zepp pada Khamis lalu. Kibaran panji yang sinonim dengan band thrash metal legenda Kreator itu sebagai lambaian kepada bala tentera metal di Malaysia.

Kira-kira 3,000 orang membanjiri pentas bingit ‘Kreator : Strongest of the Strong‘, sebahagian daripada mereka telah menantikan kemunculan gergasi trash metal itu sejak sekian lama.

Ia adalah malam yang bersejarah bagi metalheads dari seluruh negara, baik peminat muzik seperti saya, otai-otai dalam komuniti, band member dan tidak ketinggalan rockstar-rockstar dari arus perdana.

Semua berkumpul atas satu nama, Kreator.

Selepas kehadiran gergasi metal seperti Metallica, Megadeth dan terbaru sekali Testament pada 30 September lalu, keputusan Rockstage Entertainment dengan kerjasama Lampuneon membawa masuk band legendary ini semestinya keputusan yang tepat.

Lebih manis lagi apabila pioneer thrash metal dari Jerman ini meletakkan Malaysia sebagai persinggahan pertama dalam jelajah Asia/Australia bagi mempromosikan album ke 15 mereka ‘Hate Uber Alles‘.

Kehadiran yang pasti mengimbau kenangan aksi pentas mereka di Backroom kira-kira 19 tahun yang lalu.

Dan mungkin atas andaian yang sama, Kreator membuka pentas tanpa persembahan mana-mana band pemula. Dalam kata lain, Kreator mahu terus berdepan dengan fans di Malaysia.

Tepat pukul 8.30 malam, tabir gergasi dengan logo paling klasik dan ikonik dijatuhkan untuk membuka tirai kepada lagu pertama ‘Hate Uber Alles’ yang disambut sorakan gemuruh peminat. Aura yang cukup hebat.

Melihat vibe seperti konsert ‘jahat’ di luar negara itu, jantung penulis seperti berkongsi degupan yang sama dengan paluan dram Jurgen ‘Ventor’ Reil sebelum disambut dengan laungan “Kuala Lumpur!!!” oleh vokalis, Mille Petrozza.

Berdiri kira-kira tiga meter dari pentas, mata tertumpu pada kelincahan Frederic Leclercq, bekas pemain gitar bass Dragonforce. Namun persembahan pasti tidak lengkap tanpa laungan rif maut dari gitar Sami Yli-Sirnio yang sudah lebih dua dekad bersama Kreator.

‘People of The Lie’ dari album ‘Coma of Souls’ menjadi lagu kedua yang menyuntik kerancakan aksi Mille seolah-olah seperti seorang penglipur lara yang sedang bercerita.

“KUALA LUMPUR, THE KREATOR HAS RETURNED!,” katanya sambil mengarahkan penonton di bahagian tengah membentuk ‘wall of death’ untuk menyambut lagu seterusnya, ‘Betrayer’.

Pukulan dram Ventor menghidupkan lagu dari album Extreme Aggression itu, diikuti dengan arus mosh pit yang tegang. Ternyata pada usia 56 tahun, suara Mille masih cukup bertenaga, bahkan langsung tidak mencetuskan perbandingan dengan vokalnya ketika album itu dirakam 35 tahun lalu.

Kreator menghemburkan 15 lagu dalam masa kurang daripada 1 jam 20 minit persembahan yang disifatkan terlalu singkat untuk sebuah band yang ditunggu-tunggu peminat sejak hampir dua dekad lamanya.

Saya sendiri terkejut apabila lagu ‘Tormentor’ mengakhiri persembahan ketika kaki baru sahaja mahu melangkah mencari tandas. Laungan We Want More! tidak juga berbalas. Mungkin mahu menyimpan tenaga untuk beraksi di Jogjarockarta, Indonesia, dua hari berikutnya.

Tapi saya yakin, tidak kira dari mana anda datang pada malam itu, semua pasti puas, cuma mungkin tidak cukup. Apa pun kita pegang janji Mille untuk kembali beraksi di Kuala Lumpur.

Kreator memang dalam kelas tersendiri.

Show More

Related Articles

Back to top button